MOSCOW: Kementerian Pertahanan Russia menuduh Ukraine meracuni sejumlah anggota tenteranya di bahagian yang dikuasai negara ini di wilayah tenggara Ukraine, Zaporizhzhia.
Menurut kementerian tersebut, beberapa askar Russia dikejarkan ke hospital tentera dengan gejala keracunan serius pada 31 Julai lalu dan keputusan ujian menunjukkan terdapat bahan toksin botulinum jenis B dalam darah mereka.
“Ukraine menggunakan keganasan kimia untuk meracun tentera Russia dan oleh hal yang demikian, Moscow giat menyediakan bukti berserta keputusan ujian toksin,” jelas kementerian berkenaan.
Toksin botulinum jenis B adalah neurotoksin yang boleh menyebabkan keracunan apabila tertelan dalam produk makanan yang dicemari bahan tersebut.
Bahan kimia itu juga boleh digunakan untuk perubatan menerusi kaedah yang betul.
Dalam pada itu, Ukraine menafikan tuduhan Russia dan menegaskan tentera negara itu mengalami keracunan kerana makan daging dalam tin yang sudah tamat tempoh.
Kementerian Pertahanan Ukraine sehingga kini tidak mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut, namun penasihat Kementerian Dalam Negeri, Anton Gerashenko mengulas isu itu dalam Telegram.
“Mengapa Russia tidak menyentuh isu tenteranya termakan daging dalam tin yang sudah tamat tempoh?
“Toksin botulinum sering ditemukan dalam makanan yang sudah tamat tarikh luput,” soal Gerashenko. – REUTERS