MEXICO CITY: Pasukan penyelamat berusaha menyelamatkan kira-kira 10 pekerja yang dipercayai terperangkap dalam insiden runtuhan di lombong arang batu di utara Mexico.
Menurut pihak berkuasa, tiga pekerja lombong yang lain ditemukan masih hidup.
Presiden Andres Manuel Lopez Obrador berkata, anggota tentera dan anjing pengesan dikerahkan ke lokasi kejadian yang berlaku di wilayah Coahuila.
“Sebuah lombong arang batu runtuh di perbandaran Sabinas, Coahuila sehingga beberapa pekerja yang berada di bawah terowong itu terperangkap.
“Kami berharap agar dapat menyelamatkan mereka,” katanya dalam ciapan di Twitter.
Lopez Obrador sebelum ini memaklumkan sembilan pelombong hilang namun Kementerian Dalam Negeri menyatakan tiga berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital manakala 10 lagi dipercayai masih terperangkap di lombong itu.
“Operasi itu tidak akan berhenti sehingga kesemua ditemukan.
“Kerajaan Mexico akan menyalurkan semua sumber yang diperlukan bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” jelas kementerian dalam kenyataan. – AFP