SEOUL: Mahkamah sivil di Korea Selatan memerintahkan seorang lelaki membayar ganti rugi sebanyak AS$1,150 (RM5,141) kerana membuang air kecil pada beg tangan berjenama milik bekas teman wanitanya.
Memetik laporan Oddity Central, lelaki berusia 31 tahun itu dari Seoul melakukan perbuatan itu selepas didakwa bertengkar dengan wanita tersebut.
Kejadian itu berlaku pada Oktober tahun lalu di rumah wanita berkenaan di Gangnam-gu.
“Pasangan tersebut berada di rumah dan entah bagaimana mereka mula bertengkar mengenai sejumlah wang.
“Lelaki itu kemudian masuk ke bilik tidur dan membawa beg tangan Louis Vuitton milik teman wanitanya.
“Dia membuka butang seluar dan bertindak kencing di atas beg tangan di hadapan teman wanitanya,” jelas laporan itu.
Wanita itu kemudian membuat laporan polis kerana berang dengan tindakan teman lelakinya.
Berdasarkan laporan media tempatan, lelaki itu pada awalnya menafikan tuduhan terhadapnya dan memberitahu pihak berkuasa dia hanya berpura-pura membuang air kecil.
Bagaimanapun, pasukan penyiasat mengarahkan pakar di Institut Sains Forensik Kebangsaan untuk menganalisis sampel diambil dari beg berkenaan.
Hasil saringan menunjukkan terdapat kesan air kencing dan ia sepadan dengan asid deoksiribonukleik (DNA) lelaki itu meskipun selepas cuba menyembunyikannya dengan menyembur cecair deodoran pada beg tangan terbabit.
Akhirnya, lelaki berkenaan mengaku melakukan perbuatan memalukan itu selepas terdapat banyak bukti terhadapnya.
Selepas menyemak semua fakta, Hakim Park Hye-rim dari Mahkamah Daerah Pusat Seoul memerintahkan lelaki berkenaan membayar pampasan bagi beg tangan Louis Vuitton yang rosak.
Menurut Hye-rim, beliau hanya menjatuhkan hukuman ringan terhadap lelaki itu kerana ia merupakan kesalahan pertama tertuduh.