Lagi tembakan rambang, tujuh maut di Detroit, Houston

Lagi tembakan rambang, tujuh maut di Detroit, Houston

BEBERAPA penyewa berkumpul di lokasi kejadian selepas empat maut termasuk suspek yang ditembak mati oleh polis di Houston, Amerika Syarikat. - AP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HOUSTON: Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dalam dua insiden tembakan di lokasi berbeza, ketika Amerika Syarikat (AS) terus bergelut dengan peningkatan jenayah senjata api.

Insiden pertama berlaku di Houston melibatkan seorang lelaki yang berang diusir dari rumah sewanya menembak lima penyewa lain menyebabkan tiga daripadanya terbunuh.

Suspek yang turut membakar rumah tersebut ditembak mati oleh polis yang tiba di lokasi kejadian.

Ketua Polis Houston, Troy Finner berkata, polis dan paramedik dikerah ke lokasi kejadian selepas menerima laporan mengenai kebakaran.

“Suspek yang disyaki bersenjatakan senapang patah, melepaskan tembakan secara rambang ke arah penyewa lain ketika mereka berlari keluar dari rumah yang terbakar.

“Dua mangsa maut di lokasi dan seorang lagi meninggal dunia di hospital dengan dua lagi cedera dan kini menerima rawatan di hospital.

“Suspek turut melepaskan tembakan ke arah anggota bomba yang memadamkan kebakaran menyebabkan operasi terhenti sehingga dia ditembak mati oleh polis,” katanya.

Dalam satu lagi kes di Detroit, polis memburu seorang suspek yang dipercayai menembak empat mangsa dengan tiga daripadanya terbunuh dalam kejadian tembakan rambang.

Ketua Polis Detroit, James White memberitahu, tiga mangsa pertama iaitu dua wanita dan seorang lelaki ditemukan dengan beberapa kesan tembakan di lokasi berbeza pada awal pagi kelmarin.

Katanya, mangsa keempat ternampak mangsa dan menyuruhnya berhenti sebelum dia juga ditembak.

“Keempat-empat mangsa ditembak di lokasi berbeza, ada yang ditembak ketika menunggu bas, membawa anjing bersiar-siar dan berjalan tepi jalan.

“Kami masih memburu suspek dan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat boleh tampil membantu pihak berkuasa,” ujarnya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN