LONDON: Kebanyakan rakyat Britain menyuarakan rasa menyesal memberikan perlindungan kepada pelarian Ukraine berikutan kelewatan kerajaan dalam menyalurkan pembayaran skim ‘Rumah untuk Ukraine’.
Malah, sebanyak 70 peratus keluarga tuan rumah yang menumpangkan rumah mereka kepada golongan itu, mengakui krisis kos sara hidup menyukarkan lagi untuk menjaga pelarian berkenaan sehingga terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk menyara mereka.
Lapor Daily Mail, di bawah skim Rumah untuk Ukraine, penduduk Britain dibayar 350 pound (RM1,855) sebulan sekiranya mereka menawarkan bilik atau rumah kepada pelarian berkenaan untuk tempoh minimum enam bulan.
Ia berlaku ketika kira-kira satu perempat keluarga tuan rumah Britain yang menyertai skim itu, dijangka berhenti dalam beberapa minggu akan datang.
Para penaja menegaskan kekurangan sokongan menjadi punca keputusan itu dibuat, di tengah-tengah inflasi dan bil elektrik yang melambung tinggi.
Keluarga tuan rumah juga mengadu kelewatan menerima bayaran bulanan 350 pound daripada kerajaan.
Malah, rata-rata golongan itu juga mendesak kerajaan untuk menggandakan bayaran itu kepada 700 pound (RM3,709).
Ada antara tuan rumah mendakwa sudah membelanjakan ribuan pound untuk menyara pelarian yang menetap bersama mereka.
Sementara itu, sepasang suami isteri yang sudah bersara mengakui menjaga keluarga pelarian Ukraine adalah `jauh lebih sukar’ daripada dijangkakan.
Pasangan dikenali sebagai Robin dan Sue ketika ini sedang menjaga empat ahli keluarga yang sama di rumah mereka di pekan Oakhill di Somerset.
Pekan itu yang hanya mempunyai kira-kira 700 penduduk ketika ini menerima lebih 30 pelarian Ukraine yang meninggalkan negara mereka berikutan insiden pencerobohan Russia yang kini memasuki bulan keenam.
“Walaupun melihat kanak-kanak bermain dan gelak ketawa amat indah namun ia jauh lebih sukar daripada apa yang kita sangkakan.
“Kami berdua berusia 60-an dan apabila mereka mula-mula datang ke sini, terdapat banyak kerja tambahan yang perlu dilakukan termasuk membawa mereka ke mana-mana sahaja,” kata pasangan itu.