JACKSON: Angka kematian akibat banjir melanda timur Kentucky, Amerika Syarikat (AS) meningkat kepada 37 orang.
Gabenor negeri selatan-tengah AS, Andy Beshear berkata, hujan lebat menghalang operasi pemulihan dan kemungkinan cuaca buruk mengancam untuk mencetuskan kerosakan selanjutnya.
“Pihak berkuasa mengesahkan angka kematian kini meningkat kepada 37 orang, dengan masih ramai lagi yang hilang.
“Kami berdoa untuk keluarga mangsa diberi kekuatan untuk menghadapi situasi ini,” kata Beshear di Twitter.
Beshear menjangkakan angka kematian akan terus meningkat ketika pasukan mencari dan menyelamat merentasi kawasan dilanda banjir dan menemukan lebih banyak mayat.
Bagaimanapun, usaha pasukan penyelamat terhalang akibat hujan lebat semalam, dengan beberapa siri ribut baharu berlaku.
Minggu lalu, beberapa kawasan di timur Kentucky menerima hujan lebih daripada 20 sentimeter (cm) dalam tempoh 24 jam sekaligus mencetuskan banjir kilat yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Paras air North Fork Sungai Kentucky di Whitesburg meningkat kepada 6.1 meter dalam beberapa jam, jauh melebihi rekod sebelumnya iaitu 4.5 meter. – AFP