JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengingatkan semua pihak, terutamanya barisan kepemimpinan negara dan para penyokongnya supaya mengutamakan pengukuhan ekonomi berbanding politik ketika ini.
Katanya, politik itu penting, namun ekonomi merupakan cabang paling kritikal untuk dibangunkan, sekali gus mencerminkan keadaan sebenar sesebuah negara.
“Soal politik, kalau boleh kita santai-santai sahaja, ada banyak perkara yang lebih penting untuk kita utamakan.
“Hal itu adalah ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat dan seharusnya kita lakukan bersama-sama,” katanya seperti yang dilaporkan Kompas.com.
Tegasnya, politik yang goyah boleh dipulihkan dalam kadar segera, namun ekonomi yang lemah mengambil masa untuk dibangunkan semula dan mengambil kira semua aspek.
Selain itu, Jokowi mengakui pelbagai pihak bertanya kepada beliau mengenai calon presiden yang akan beliau pilih pada 2024.
Tidak mahu terburu-buru, Jokowi menasihatkan penyokongnya supaya tidak tergesa-gesa membuat keputusan kerana masih ada banyak masa untuk melakukannya.
“Ramai bertanya kepada saya, siapakah calon yang saya akan pilih?
“Tidak perlu terburu-buru dalam soal ini. Kita masih banyak masa untuk buat pilihan dan jangan sampai tersalah pilih,” ujarnya.