DUBAI: Kementerian Luar Iran menegaskan tiada mana-mana pihak berhak melemparkan tuduhan terhadap negara itu berhubung serangan terhadap penulis kontroversi, Salman Rushdie, Jumaat lalu.
Sebaliknya, jurucakap kementerian itu, Nasser Kanaani berkata, Salman dan penyokongnya yang sepatutnya dipersalahkan, lapor Reuters.
Nasser berkata, kebebasan bersuara bukan lesen untuk Salman dibenarkan membuat penghinaan terhadap agama seperti tulisan di dalam novel berjudul ‘The Satanic Verses’ yang mengandungi petikan menghina Islam.
“Semasa serangan terhadap Salman, kami tidak menganggap sesiapa selain dirinya dan penyokongnya yang patut dicela dan dikutuk.
“Tiada sesiapa pun berhak menuduh Iran dalam hal ini,” katanya.
Jumaat lalu, Salman, 75, diserang oleh Hadi Matar, 24, ketika berada di atas pentas di Institut Chautauqua, barat New York.
Mangsa dilaporkan masih hidup dan tidak bergantung dengan mesin bantuan pernafasan walaupun mengalami kecederaan di bahagian leher dan badan akibat tikaman itu.
Bagaimanapun, Salman yang dilahirkan di Mumbai dan membesar di United Kingdom berkemungkinan hilang sebahagian penglihatannya.
Menurut Nasser, Salman sendiri yang mendedahkan dirinya kepada kemarahan 1.5 bilion umat Islam dan sering menerima ancaman bunuh akibat mengina kesucian Islam.
Beliau turut menjelaskan, Teheran tidak mempunyai maklumat lain mengenai suspek yang menyerang novelis itu melainkan berita yang dilaporkan dalam media.
Akhbar Iran turut meraikan serangan tersebut dengan paparan tajuk utama seperti ‘Syaitan telah dibutakan’ dan beberapa rakyat Iran menyuarakan sokongan terhadap individu yang melakukan serangan tersebut.