ANKARA: Keputusan Turkiye dan Israel untuk menjalin semula hubungan diplomatik, tidak sesekali akan melemahkan sokongan Ankara terhadap Palestin dalam konflik membabitkan kedua-dua pihak.
Erdogan memberi jaminan itu ketika bertemu dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam lawatan rasminya ke ibu negara Turkiye, Ankara.
Memetik laporan Al Jazeera, Erdogan menegaskan Ankara akan meneruskan solidariti yang sudah lama terjalin dengan Palestin dengan pendekatan yang paling kuat.
Malah, kata beliau, Turkiye yang pernah mengiktiraf Palestin sejak ia diisytiharkan, mempertahankan visi penyelesaian dua negara di setiap platform sedia ada.
“Turkiye pernah menyatakan secara jelas respon kami membabitkan pelbagai isu termasuk serangan Israel dan penduduk yang menjadi mangsa,” katanya dalam sidang akhbar bersama pemimpin itu.
Lawatan rasmi Mahmoud Abbas selama tiga hari, ketika Turkiye dan Israel mengumumkan penyambungan semula hubungan diplomatik dalam skala penuh.
Minggu lalu, Turki dan Israel memaklumkan akan menghantar semula duta ke negara masing-masing, empat tahun selepas mereka diusir keluar berhubung 60 penduduk Palestin dibunuh oleh tentera Israel semasa protes di Gaza bagi menentang pembukaan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Baitulmuqaddis.
Erdogan merupakan penyokong gigih perjuangan Palestin yang sebelum ini pernah melabelkan Israel sebagai ‘negara pengganas’.
Dalam pada itu, Erdogan berkata, pihak berkuasa Palestin termasuk beberapa parti politik berbeza menyambut baik usaha damai Turkiye dan Israel.
Malah, kata beliau, pihak berkenaan juga mahu dialog untuk diteruskan.
“Sebaliknya, saudara Palestin juga menyatakan langkah tersebut akan menyumbang kepada penyelesaian isu Palestin dan memperbaiki keadaan penduduk Palestin,” katanya.
Sementara itu, Mahmoud Abbas tidak menyebut mengenai hubungan Turkiye-Israel dalam komennya, namun menzahirkan ucapan terima kasih kepada Erdogan atas sokongan diberikan sebelum ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas perhatian dan keramahan yang tunjukkan kepada kami.
“Saya juga mahu menzahirkan penghargaan saya kerana kerajaan Turki kerana berada di pihak Palestin,” katanya.