Esra, Amaal pernah buat aduan lelaki mencurigakan sembunyi di luar kediaman

Esra, Amaal pernah buat aduan lelaki mencurigakan sembunyi di luar kediaman

ESRA (kiri) dan adiknya, Amaal ditemukan mati di sebuah blok kediaman di Canterbury di Sydney, Australia. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Dua adik beradik warga Arab Saudi yang ditemukan maut, dilaporkan sebelum ini pernah membuat aduan mengenai seorang lelaki yang mencurigakan bersembunyi di luar unit kediaman mereka.

Lapor Daily Mail, seorang pekerja di pengurusan apartmen itu mendakwa Esra Abdullah Alsehli dan Amaal Abdullah Alsehli melaporkan kepada pihaknya pada awal tahun ini berikutan bimbang dengan keselamatan mereka.

“Mereka membuat laporan bahawa ternampak seorang lelaki ‘bertindak pelik’ di luar bangunan, individu itu berdiri antara dua kereta dan berkelakuan aneh,” kata pekerja itu.

Menurut pekerja itu, Esra dan Amaal membuat susulan aduan dan memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) namun sukar untuk menentukan sama ada lelaki itu mempunyai niat jahat.

“Kami memeriksa CCTV dan melihat ada seorang lelaki berdiri di sana. Namun tempat itu sibuk, terdapat kedai burger di sana dan pemandu Uber Eats lalu setiap masa, lelaki itu mungkin boleh jadi sesiapa sahaja.

“Kami tidak dapat menentukan dengan pasti sebab lelaki itu berada di sana namun dia tidak kelihatan seperti melakukan sesuatu tidak diingini, jadi kami merasakan tiada keperluan untuk mengejarnya lagi,” katanya.

Pekerja itu memaklumkan, dua beradik tersebut juga tidak pernah menyatakan sama ada mereka mengetahui lelaki terbabit.

Akhir tahun lalu, Esra dan Amaal pernah membuat aduan kepada pengurusan bangunan mendakwa ada orang mengganggu penghantaran makanan mereka.

Bagaimanapun, rakaman CCTV sekali lagi tidak menemukan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan wanita berkenaan.

Mayat Esra dan Amaal ditemukan dalam keadaan sudah reput dalam bilik tidur berasingan di blok kediaman di Canterbury di barat daya Sydney, Australia pada 7 Jun lalu.

Namun, pasukan penyiasat percaya kedua-dua wanita berkenaan meninggal dunia pada awal Mei.

Bangunan kediaman tersebut dikawal oleh polis sejurus selepas mayat dua beradik itu ditemukan.

Setakat ini, punca kematian Esra dan Amaal tidak dapat dipastikan serta tiada tanda-tanda menunjukkan rumah mereka dipecah masuk.

Polis juga masih tidak dapat mengenal punca kematian kedua wanita itu dan kes ini dianggap mencurigakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN