COLOMBO: Krisis ekonomi terburuk yang melanda Sri Lanka ketika ini mengakibatkan ramai penduduknya mengalami kebuluran berikutan ketiadaan sumber pendapatan untuk membeli barangan keperluan.
Namun, buah nangka mungkin menjadi penyelamat kepada rakyat negara ini daripada mengalami kebuluran teruk.
Penduduk Anoma Kumari Paranathala berkata, dia bernasib baik kerana sempat mengusahakan tanaman di atas sebidang tanah milik keluarganya sepanjang pandemik Covid-19 melanda.
Katanya, dia menanam pelbagai sayuran termasuk tomato, bayam, labu, ubi serta nangka yang kini boleh dijadikan makanan harian mereka.
“Sekarang orang bimbang mengenai masa depan mereka.
“Mereka takut tiada makanan,” katanya yang mempelajari cara menanam menerusi buku dan YouTube.
Katanya, nangka menjadi menu restoran popular di seluruh dunia sebagai pengganti daging sejak beberapa tahun lalu.
“Tetapi di Sri Lanka, bila ada krisis besar macam ini, buah nangka menjadi popular sedangkan ia sudah lama ditanam di sini.
“Setiap kebun di Sri Lanka ada ditanam dengan pokok nangka. Sampaikan banyak terpaksa dibuang kerana tidak termakan dan tidak habis dijual,” katanya.
Menurutnya krisis, melanda negara itu membuka mata penduduk bahawa buah berkenaan boleh dijadikan alternatif makanan utama yang semakin mahal.