BEIJING: Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China memaklumkan Covid-19 menyumbang kepada penurunan kadar perkahwinan dan kelahiran di negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, berikutan kos pendidikan dan penjagaan anak yang tinggi.
Menurut suruhanjaya itu, ramai wanita terus menangguhkan rancangan untuk berkahwin atau mempunyai anak.
Malah, jelasnya, perkembangan pesat ekonomi dan sosial di negara itu juga menyebabkan ‘perubahan yang mendalam’.
Tambah suruhanjaya itu, golongan muda berpindah ke kawasan bandar, lebih banyak masa dihabiskan bagi pendidikan dan tekanan tinggi di tempat kerja turut memainkan peranan.
Ahli demografi menyifatkan dasar ‘sifar Covid-19’ China kemungkinan menyebabkan kesan mendalam dan berkekalan terhadap keinginan penduduk untuk mempunyai anak.
“Koronavirus juga mempunyai kesan terhadap pengaturan perkahwinan dan kelahiran sejumlah kecil individu,” jelas suruhanjaya itu.
Sementara itu, ahli demografik berkata, kadar kelahiran baharu di China dijangka jatuh ke paras terendah tahun ini, dengan jangkaan menurun di bawah 10 juta berbanding 10.6 juta bayi pada tahun lalu.
Jumlah itu menunjukkan 11.5 peratus lebih rendah berbanding pada tahun 2020.
China mempunyai kadar kesuburan 1.16 pada tahun 2021, salah satu kadar terendah di dunia dan di bawah kadar 2.1 yang dilihat oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) sebagai populasi yang stabil.
Selepas melaksanakan dasar satu anak dari 1980 hingga 2015,
Selepas pelaksanaan dasar seorang anak dari tahun 1980 hingga 2015, China mengakui jumlah populasi berada di ambang penyusutan sekaligus berisiko mencetuskan krisis yang akan menguji keupayaannya membayar dan menjaga warga tuanya. – REUTERS