SINGAPURA: Bermula Isnin depan, rakyat republik ini tidak perlu lagi memakai pelitup muka kecuali ketika berada dalam pengangkutan awam dan fasiliti kesihatan.
Perkembangan terkini mengenai kelonggaran peraturan Covid-19 diumumkan oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong semasa menyampaikan ucapan sempena Hari Kebangsaan.
Berikut merupakan syarat baharu pemakaian pelitup muka ketika menggunakan perkhidmatan awam dan fasiliti lain:
PENGANGKUTAN AWAM
Pelitup muka masih wajib dipakai ketika menggunakan MRT, LRT dan bas awam termasuk ketika berada di fasiliti pengangkutan awam seperti balai pelepasan di platform MRT dan laluan pertukaran bas.
Pemakaian pelitup muka hanya menjadi pilihan ketika menggunakan pengangkutan peribadi seperti teksi, bas sekolah dan perkhidmatan bas swasta.
Kementerian Kesihatan berkata, penumpang boleh membuat semakan dengan pengendali swasta bagi sebarang syarat tambahan.
Kawasan lapangan terbang dan kawasan peruncitan persimpangan bas juga turut dikecualikan.
Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kenderaan awam digalakkan memakai pelitup muka, sekiranya mereka berasa tidak sihat.
PENERBANGAN ANTARABANGSA
Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Kenneth Mak semasa sidang akhbar memaklumkan keperluan pemakaian pelitup muka ketika menaiki pesawat antarabangsa bergantung kepada syarat yang ditetapkan oleh pesawat dan destinasi yang dituju.
“Setiap syarikat penerbangan mempunyai peraturan tertentu mengikut negara masing-masing. Terdapat syarat mandatori mengenai pelitup muka yang mesti dipakai,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, negara seperti Amerika Syarikat tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka kepada setiap penumpang.
Bagi penerbangan komersial ke luar negara dan feri dari Singapura, penumpang perlu memakai pelitup muka.
Syarat itu juga melibatkan penerbangan komersial yang memasuki Singapura serta feri ke Singapura dari destinasi yang memerlukan pemakaian tersebut.
Singapore Airlines mengumumkan penumpang tidak perlu lagi memakai pelitup muka semasa dalam pesawat bermula 29 Ogos ini, melainkan mereka mengunjungi negara yang mewajibkan pemakaian tersebut.
FASILITI KESIHATAN
Fasiliti penjagaan kesihatan, rumah kebajikan, rumah jagaan warga emas dan ambulans kekal melaksanakan pemakaian pelitup muka.
Kewajipan itu juga termasuk di fasiliti penjagaan kesihatan Covid-19 dan pusat vaksinasi.
Semua premis yang menjual makanan, kawasan lapang dalam bangunan hospital dan poliklinik kekal dengan mandat tersebut.
Bagaimanapun, kelonggaran diberikan ketika berada di pusat fisioterapi dan perkhidmatan klinik kesihatan lain seperti terapi pertuturan dan terapi pekerjaan di luar kawasan hospital.
SEKOLAH
Hsien Loong berkata, murid-murid sekolah tidak perlu lagi memakai pelitup muka semasa berada di dalam kelas kerana menyukarkan mereka melihat ekspresi wajah guru yang mengajar dan rakan-rakan yang lain.
“Ini penting demi pembelajaran dan perkembangan pendidikan mereka,” jelasnya.
PENGENDALI MAKANAN
Agensi Makanan Singapura (SFA) menjelaskan pemakaian pelitup muka masih diteruskan seperti biasa terhadap pengendali makanan.
Katanya, peraturan tersebut diguna pakai kepada semua peniaga persendirian yang terlibat dengan penyediaan makanan dan minuman di rangkaian F&B.
“Ini termasuk gerai penjaja, kedai kopi, restoran, pasar raya, rumah penyembelihan dan pemprosesan makanan.
“Semua pengendali makanan perlu memakai pelitup muka yang menutup bahagian hidung dan mulut, atau pelindung mulut yang mampu menghalang sebarang bahan yang dikeluarkan dari mulut atau hidung daripada mencemarkan makanan,” ujarnya.
Menteri Kanan bagi Kelestarian Alam Sekitar, Amy Khor berkata, pelindung muka adalah tidak dibenarkan kerana ia tidak dianggap sebagai penghalang fizikal yang berkesan disebabkan oleh jurang yang besar di bahagian bawah perisai itu.
“Mereka yang membawa makanan yang berbungkus kepada pengguna, mengutip bayaran atau yang terlibat dalam kerja pembersihan tidak perlu memakai pelitup muka,” jelasnya.- AGENSI