Blok silo bijirin Beirut runtuh dimamah api

Blok silo bijirin Beirut runtuh dimamah api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Sebahagian daripada silo bijirin pelabuhan Beirut yang rosak semasa letupan 2020, runtuh selepas dilanda kebakaran yang berlanjutan selama berminggu-minggu.

Lapor Al Jazeera, blok utara silo tumbang pada Ahad lalu sehingga menyebabkan debu tebal berwarna kelabu menyelubungi struktur ikonik itu dan kawasan pelabuhan di sebelah bahagian perumahan.

Ketua Pengarah Pelabuhan Silos Beirut, Assaad Haddad berkata, situasi berada dalam kawalan walaupun kejadian agak membimbangkan banyak pihak.

Bagaimanapun, Youssef Mallah dari Jabatan Pertahanan Awam melahirkan kebimbangan mengenai bahagian lain blok utara silo serta bahagian lain yang berisiko mengalami runtuhan gergasi.

Silo berusia 50 tahun dengan ketinggian 48 meter itu berjaya menahan kekuatan letupan dua tahun lalu, dan melindungi bahagian barat ibu kota Lubnan daripada letupan yang mengorbankan lebih 200 orang, mencederakan lebih 6,000 sehingga menyebabkan seluruh kawasan kejiranan rosak teruk.

Julai lalu, kebakaran berlaku di blok utara silo disebabkan oleh penapaian bijirin dan diburukkan dengan cuaca panas.

Anggota bomba dan tentera Lubnan tidak dapat memadamkan kebakaran sehingga berlarutan selama berminggu-minggu dan bau busuk merebak di sekeliling kawasan.

Minggu lalu, Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan mengeluarkan arahan kepada penduduk yang tinggal berhampiran pelabuhan supaya kekal tinggal di dalam rumah dan memastikan ruang pengudaraan yang baik.

Dua tahun lalu, Beirut musnah selepas kejadian letupan dahsyat di sebuah gudang di kawasan Pelabuhan Beirut, yang digunakan untuk menyimpan kira-kira 3,000 tan bahan kimia ammonia nitrat yang disita.

Letupan itu bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan di kawasan itu, malah impaknya menyebabkan kerosakan pada beberapa bangunan lain yang terletak beberapa kilometer dari lokasi letupan itu dan kepulan asap hitam tebal dapat dilihat sejauh kira-kira 10 kilometer.

Majlis Pertahanan Lubnan mengisytiharkan Beirut sebagai zon bencana dan menggesa Kabinet untuk mengeluarkan perintah darurat ketika itu.

Bahagian timur Pelabuhan Beirut musnah sepenuhnya dan kerosakan di ibu negara itu disifatkan sebagai lebih buruk daripada serangan Israel pada 2006.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya