ISLAMABAD: Kerajaan Pakistan memerlukan lebih AS$10 bilion (RM44.8 bilion) untuk membaik pulih dan membina semula infrastruktur yang rosak akibat banjir besar yang melanda negara itu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pembangunan Paksitan, Ahsan Iqbal.
“Infrastruktur terutamanya dalam bidang telekomunikasi, jalan raya, pertanian dan mata pencarian mengalami kerosakan besar,” katanya.
Banjir kilat susulan hujan monsun yang lebat menyebabkan tebing sungai pecah, memusnahkan jambatan serta menghanyutkan kampung, tanaman dan ladang di seluruh negara.
Meskipun monsun tahunan penting untuk pengairan tanaman dan menambah semula kapasiti tasik serta empangan di seluruh Pakistan, namun saban tahun ia turut membawa gelombang kemusnahan.
Menurut pegawai, banjir monsun tahun ini menjejaskan lebih 33 juta penduduk selain memusnahkan hampir sejuta rumah mereka.
Minggu lalu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif berkata, kerugian akibat banjir musim ini adalah setanding dengan kerugian banjir pada 2010 dan 2011. – AFP











