BRASILIA: Anggota terakhir dari puak Orang Asli Tanaru yang terpisah daripada tamadun moden di Brazil, dilaporkan meninggal dunia.
Menurut pihak berkuasa, lelaki itu yang namanya tidak diketahui, hidup secara terasing sejak 26 tahun lalu.
Lapor BBC, lelaki itu dikenali sebagai Man of the Hole kerana sering menggali lubang dalam yang mana sebahagiannya digunakan untuk memerangkap haiwan dan menyembunyikan diri.
Mayat lelaki itu ditemukan pada 23 Ogos lalu di dalam buaian di luar pondok jeraminya.
Siasatan pihak berkuasa tidak menemukan sebarang tanda pergelutan atau keganasan pada tubuh lelaki itu.
Individu itu yang dianggarkan berusia 60 tahun, dipercayai meninggal dunia akibat faktor semula jadi.
Lelaki itu merupakan anggota terakhir dari kumpulan orang asli yang tinggal di kawasan orang asli Tanaru di Rondonia, bersempadan dengan Bolivia.
Kebanyakan suku kaumnya dipercayai dibunuh seawal tahun 1970-an oleh penternak yang mahu meluaskan tanah mereka.
Pada 1995, enam daripada baki anggota sukunya terbunuh dalam serangan oleh pelombong haram, menjadikan dia satu-satunya individu yang terselamat.
Agensi Hal Ehwal Orang Asli Brazil (Funai) hanya menyedari lelaki itu masih hidup pada 1996 dan sejak itu sudah mula memantau kawasan tersebut untuk keselamatannya.
Ejen Funai, Altair José Algayer menemukan mayat lelaki itu dilitupi dengan bulu burung macaw dalam buaian tersebut ketika melakukan rondaan rutin.
Sementara itu, pihak berkuasa berkata, tiada tanda-tanda sebarang pencerobohan di kawasannya dan pondoknya.
Bagaimanapun, jelasnya, bedah siasat akan dilakukan bagi menentukan sama ada lelaki itu dijangkiti penyakit.