NEW DELHI: Seramai enam ahli keluarga ditemukan mati secara misteri di dalam rumah sendiri di kampung Balana, Ambala.
Lapor India Today, Timbalan Superintenden Polis Ambala, Joginder Sharma berkata, pihak polis turut menemukan nota bunuh diri di dalam kediaman itu.
Jelasnya, anggota polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan mengenai kes kematian melibatkan sebuah keluarga.
“Kita temukan enam mangsa termasuk dua kanak-kanak dari keluarga yang sama.
“Jabatan siasatan jenayah sudah dikerahkan ke lokasi kejadian dan kita turut menemukan nota bunuh diri. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Difahamkan, kesemua ahli keluarga tersebut tidur selepas menikmati makan malam dan tidak sedarkan diri keesokan harinya.
Sharma berkata, hari ini merupakan ulang tahun kelahiran ahli keluarga paling bongsu yang turut menjadi mangsa.
Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Sangat Ram, 65, isterinya, Mahindra Kaur, Sukhwinder Singh, 34, dan isterinya, Reena serta dua anak perempuan mereka, Ashu, 5 dan Jassi, 7.