MAKASSAR: Seramai 229 bakal pengantin di beberapa daerah di Sulawesi Selatan didapati positif dadah selepas menjalani ujian saringan.
CNN Indonesia melaporkan, saringan itu dijalankan semasa Program Keutamaan Bersih Dadah yang merupakan program mencegah penyalahgunaan narkotik mengikut keluarga yang dilancarkan oleh kerajaan wilayah Sulawesi Selatan.
Berdasarkan data tersebut, sehingga Khamis lalu, seramai 229 individu menjalani saringan dengan 183 daripadanya diletakkan dalam kategori ringan, selebihnya 46 orang dalam kategori sederhana dan berat serta selebihnya berisiko tinggi.
Ketua Pencegahan dan Kawalan Penyakit Sulawesi Selatan, Erwan Tri Sulistyo berkata, pasangan yang bakal berkahwin akan diberikan surat pengenalan dari Pejabat Hal Ehwal Agama untuk menjalani saringan di Puskesmas.
Katanya, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Agama dan proses saringan dijalankan menggunakan kaedah pemeriksaan awal meliputi semua bahan psikoaktif.
“Ujian ini direka khas untuk digunakan oleh petugas kesihatan termasuk di kemudahan penjagaan kesihatan peringkat pertama.
“Daripada saringan itu, pihaknya akan membahagikan mereka kepada tiga kumpulan iaitu berisiko rendah, sederhana dan tinggi.
“Bagi bakal pengantin yang berisiko ringan, sijil akan diberikan segera. Jika misalnya disyaki mengambil dadah, dia akan menjalani ujian air kencing,” jelasnya.
Bagi bakal pengantin yang disahkan positif ujian itu, Erwan berkata, proses itu akan diteruskan dengan memberikan cadangan untuk melaksanakan pemulihan melalui Badan Narkotik Kebangsaan Wilayah, Sulawesi Selatan.
“Mereka yang positif akan mendapat surat menjalani pemulihan dan menandatangani surat tersebut, namun perkahwinan masih tetap boleh dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Gabenor Sulawesi Selatan, Andi Sudirman Sulaiman menekankan kepentingan pencegahan penyalahgunaan dadah sebelum berkahwin.
“Peranan keluarga amat penting sekali sebab itu kita menjalankan program bagi mencari menantu bebas dadah,” katanya.