JAKARTA: Seorang tukang urut dari wilayah Salatiga, Jawa Tengah ditahan polis kerana dipercayai mencabul gadis bawah umur.
Lapor Kompas, tukang urut berusia 47 tahun yang dikenali sebagai TA ditahan selepas ibu bapa mangsa melaporkan kes cabul itu kepada Agensi Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia (LPAI) di Jawa Tengah.
Menurut Ketua Polis Salatiga, Indra Mardiana, TA merupakan penduduk kampung Tingkiir yang mendakwa urutannya mampu menjadikan pelajar lebih pintar dan menang dalam pertandingan.
“Suspek mencabul mangsa pada 30 Mei lalu dan kejadian itu dilaporkan pada bulan lalu.
“Dia guna alasan kononnya urutannya dapat merawat orang sakit dan menjadikan pelajar lebih pintar untuk cabuli mangsa.
“Malangnya, ramai yang percaya dan terpedaya dengan suspek ini,” katanya.
Berdasarkan bukti dan maklumat, mangsa bersama ibu bapanya pergi ke rumah suspek sebanyak tiga kali untuk diurut.
Katanya, mangsa kemudian dibawa ke bilik khas namun, ibu bapa tidak dibenarkan menemani anak mereka ketika sesi urutan.
Jelas Indra, polis masih sedang menyiasat kes itu sekiranya terdapat lagi mangsa lain yang belum tampil membuat aduan.