BOYOLALI: Seorang jemaah haji dari Magelang, Jawa Tengah meninggal dunia di dalam pesawat ketika dalam perjalanan pulang ke tanah air dari Arab Saudi.
Jurucakap pihak berkuasa, Sarip Sahrul Samsudin berkata, Heru Purwanto, 63, merupakan jemaah dari kumpulan 12 yang penerbangannya dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Adi Soemarmo Solo, kelmarin.
“Dukacita ingin saya maklumkan seorang jemaah dari Magelang meninggal dunia dalam pesawat.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, jemaah itu meninggal dunia akibat serangan jantung,” katanya seperti yang dilaporkan Kompas.com.
Sarip juga memberitahu, jemaah itu sudah mendapatkan bantuan perubatan daripada petugas kesihatan lapangan terbang Arab Saudi sebelum disahkan layak untuk menaiki penerbangan.
Namun, dua jam sebelum mendarat, jemaah tersebut mula alami serangan jantung dan gagal diselamatkan.
“Jenazah sudah diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan.
“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu,” ujarnya.