RIO DE JANEIRO: Seorang wanita dengan dua anaknya yang mengalami dehidrasi dan kekurangan zat diselamatkan polis selepas diculik serta dikurung suami sendiri selama 17 tahun.
Polis berjaya menyelamat tiga beranak itu berdasarkan pelbagai maklumat yang dikumpul.
“Dua anak wanita itu ditemukan dalam keadaan diikat, kotor dan kelaparan,” kata polis yang turut menahan bapa mereka.
Pihak berkuasa memaklumkan, wanita tersebut dengan dua anaknya yang masing-masing berusia 19 dan 22 tahun dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Media tempatan melaporkan, wanita itu menceritakan dia dan anak-anaknya kadang kala terpaksa menahan lapar selama tiga hari tanpa sebarang makanan, selain sering didera secara psikologi dan fizikal oleh suspek.
Suaminya, yang dikenali sebagai Luiz Antonio Santos Silva yang dikahwininya selama 23 tahun memberi amaran kepadanya bahawa dia akan mati jika keluar dari rumah yang mereka diami.
Jiran tetangga terdahulu memberitahu polis, suspek sering memasang muzik kuat, dipercayai untuk menutup suara jeritan isteri dan dua anaknya ketika mereka dipukul. – AFP