PAPUA: Seramai sembilan individu maut ditembak di kawasan tanah tinggi pedalaman di Nduga, wilayah Papua, Indonesia, pagi tadi.
Pengarah Siasatan Jenayah Polis Papua, Faizal Rahmadani berkata, serangan dipercayai didalangi puak pemisah.
Jelasnya, serangan itu disifatkan paling serius sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Benar berlaku satu insiden serangan terhadap orang awam yang menyebabkan 10 individu ditembak, sembilan daripadanya maut,” katanya.
Menurut Faizal, pihaknya masih menyiasat kejadian tersebut, namun mengutamakan tugas membawa keluar penduduk di situ.
Serangan itu berlaku hanya beberapa hari selepas protes mengenai undang-undang yang bakal menyaksikan wilayah Papua dibahagikan daripada dua kepada lima daerah, dengan penambahan Papua Selatan, Papua Tengah dan Tanah Tinggi Papua.
Kerajaan Indonesia memaklumkan daerah pentadbiran baharu itu bakal mempercepatkan pembangunan, meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor awam kepada penduduk Papua.-ANTARA











