COLOMBO: Protes yang tercetus di Sri Lanka selepas Presiden, Gotabaya Rajapaksa melarikan diri ke luar negara menyebabkan seorang maut dan 84 yang lain cedera.
Mangsa yang maut melibatkan seorang lelaki berusia 26 tahun yang mengalami sesak nafas selepas anggota polis menembak gas pemedih mata ke arah peserta protes.
Pegawai perubatan di Hospital Nasional Colombo berkata, mangsa yang mengalami kecederaan merupakan penunjuk perasaan yang berhimpun di luar pejabat Perdana Menteri serta individu di luar bangunan Parlimen.
Anggota polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang cuba memecah pintu pejabat Perdana Menteri di Colombo.
Penunjuk perasaan akhirnya berjaya memasuki pejabat tersebut sebelum menuju ke Parlimen.
Jurucakap tentera berkata, seorang tentera dan pegawai polis antara mangsa yang tercedera.
Malah, senapang berisi peluru didakwa dicuri oleh peserta protes dan belum ditemukan lagi.
Protes dilancarkan selepas Sri Lanka bergelut dengan krisis ekonomi terburuk sejak beberapa dekad lalu.
Awal pagi tadi, Sri Lanka mengumumkan tempoh darurat baharu bermula dari pukul 12.00 tengah hari hingga 5 pagi esok.
Sebelum itu, Sri Lanka diisytiharkan darurat beberapa jam selepas Rajapaksa melarikan diri ke luar negara.
Pihak polis juga mengenakan perintah berkurung di seluruh wilayah Barat termasuk ibu negara Colombo bagi membendung pergolakan yang semakin meruncing setelah Rajapaksa meninggalkan negara.-BBC