Presiden baharu Sri Lanka dipilih Rabu ini - Utusan Malaysia

Presiden baharu Sri Lanka dipilih Rabu ini

Speaker Parlimen Sri Lanka, Mahinda Yapa Abeywardena.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Parlimen Sri Lanka akan memilih presiden baharu Rabu ini, berikutan peletakan jawatan Gotabaya Rajapaksa selepas melarikan diri dari negara itu.

Pencalonan untuk jawatan itu selepas Rajapaksa meletak jawatan berkuatkuasa semalam, akan dibuat pada Selasa ini dan Ahli Parlimen akan mengundi pada hari berikutnya, kata Speaker Parlimen, Mahinda Yapa Abeywardana dalam satu kenyataan ringkas.

Abeywardana dalam pengumuman itu memaklumkan, pihaknya memperoleh notifikasi untuk meletak jawatan daripada Rajapaksa yang kini berada Singapura.

Perisytiharan rasmi itu menjadikan Rajapaksa – yang pernah dikenali sebagai ‘The Terminator’ atas tindakan kerasnya terhadap kumpulan pemberontak Tamil sebelum ini – adalah pemimpin Sri Lanka yang pertama mengundurkan diri sejak ia melaksanakan pentadbiran Presiden Eksekutif pada 1978.

Rajapaksa menghantar notifikasi berkenaan melalui emel dari Singapura selepas terbang ke negara itu dari Maldives. Sebelum itu, Rajapaksa melarikan diri ke Maldives setelah penunjuk perasaan menyerbu istananya pada hujung minggu lalu.

“Beliau telah meletakkan jawatan secara sah, berkuat kuasa Khamis (semalam). Saya menerima peletakan jawatan itu,” kata Abeywardana.

Mengikut Perlembagaan Sri Lanka, Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe yang turut dituntut oleh penunjuk perasaan supaya meletak jawatan, secara automatik menjadi Pemangku Presiden hinggalah Parlimen berjaya memilih seorang Ahli Parlimen bagi menggantikan Rajapaksa untuk baki penggal pentadbiran kini.

Abeywardana memaklumkan bahawa badan perundangan itu akan dipanggil bersidang, esok, sambil berharap proses pilihan raya dapat diselesaikan dalam tempoh tujuh hari.

Rajapaksa akhirnya meletakkan jawatan selepas menghadapi bantahan penunjuk perasaan yang berlarutan selama berbulan-bulan. Beliau didakwa gagal menguruskan ekonomi Sri Landa sehingga memberi kesan teruk terhadap kehidupan 22 juta rakyatnya.

Perkembangan itu diraikan ratusan orang yang berkumpul di pusat gerakan bantahan, manakala ramai penunjuk perasaan pula dalam keadaan keletihan selepas berdepan konfrontasi dengan pasukan keselamatan selama berhari-hari.

Rajapaksa bersama isterinya, Ioma, dan dua pengawal peribadi mereka tiba di Singapura dengan menaiki penerbangan dari Maldives.

Sebagai Presiden, Rajapaksa mendapat kekebalan daripada ditahan, dan difahamkan beliau mahu ke luar negara sebelum meletak jawatan bagi mengelak sebarang kemungkinan akan diberkas.

Kementerian Luar Singapura dilapor mengesahkan bahawa Rajapaksa dibenarkan memasuki negara itu untuk ‘lawatan peribadi’, dan beliau tidak memohon suaka ataupun diberikan sebarang suaka.

Menurut sumber keselamatan Sri Lanka pula, beliau dijangka berada di Singapura untuk tempoh tertentu sebelum berkemungkinan berpindah ke Emiriah Arab Bersatu (UAE). – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN