Pesawat tempur TNI terhempas, juruterbang maut - Utusan Malaysia

Pesawat tempur TNI terhempas, juruterbang maut

ALLAN SAFITRA INDERA WAHYUDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Udara mengesahkan juruterbang pesawat tempur T-50i Golden Eagle, Leftenan Satu Pnb Allan Safitra Indera Wahyudi terkorban selepas terhempas di Desa Nginggil, Kradenan, Blora, Jawa Tengah.

Lapor Kompas.com, Allan terkorban ketika melaksanakan latihan terbang waktu malam dari Pangkalan Udara Iswahjudi, Magetan, Jawa Timur.

Ketua Jabatan Penerangan Angkatan Udara, Indan Gilang Buldansyah menerusi kenyataan memberitahu, Allan meninggalkan seorang isteri yang baru dikahwininya pada tahun lalu.

“Insiden yang menimpa Allan amat menyedihkan semua warga TNI dan rakyat Indonesia.

“Ketika ini, pasukan kecemasan masih melakukan proses evakuasi dan pemeriksaan di lokasi nahas,” katanya.

Selain itu, TNI Angkatan Udara membentuk sebuah Pasukan Penyelidikan Nahas Pesawat Udara bagi menyiasat punca pesawat berkenaan terhempas.

Terdahulu, pesawat bernombor TT-5009 itu berlepas dari Magetan pada pukul 6.45 malam waktu tempatan.

Kira-kira sejam berlepas, Allan sempat menghubungi pengarah penerbangan sebelum terputus hubungan pada 7.24 malam.

“Selepas itu, kedudukan pesawat tidak dapat dikesan,” ujar Indan.

Sementara itu, pegawai wilayah dan orang ramai menemukan serpihan logam yang dipercayai badan pesawat berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN