Penumpang lelaki, wanita diasingkan dalam angkot

Penumpang lelaki, wanita diasingkan dalam angkot

PENUMPANG wanita dan lelaki diasingkan dalam angkot bagi mengelakkan berlakunya kes gangguan seksual. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Jabatan Pengangkutan Jakarta bakal mengasingkan tempat duduk penumpang wanita dan lelaki di dalam van pengangkut (angkot) berikutan kes gangguan seksual yang berlaku sebelum ini.

Jurucakap jabatan tersebut, Syafrin Liputo berkata, penumpang wanita akan duduk di baris sebelah kiri, manakala penumpang lelaki duduk di barisan yang berkerusi enam orang.

Jelasnya, garis panduan mengenai pengasingan tempat duduk baharu itu akan diwar-warkan kepada masyarakat dalam minggu ini.

“Kami juga akan menyediakan notis sebagai panduan kepada masyarakat mengenai peraturan baharu tersebut.

“Selain itu, pemandu van pengangkut juga perlu memaklumkan mengenai perkara tersebut setiap kali ada penumpang naik.

“Diharapkan dengan langkah tersebut, pengendali perkhidmatan pengangkutan itu dapat mengawasi gerak-geri penumpang, sekali gus mengurangkan kes gangguan seksual,” katanya seperti yang dilapor CNN Indonesia.

Selain itu, peraturan tersebut akan diguna pakai untuk semua van pengangkut di seluruh Jakarta.

Ketika ini, terdapat sebanyak 6,000 van pengangkut di Jakarta.

“Peraturan itu melibatkan semua van pengangkut bermula minggu ini.

“Jabatan Pengangkutan Jakarta akan mengeluarkan garis panduan dengan segera bagi membolehkan masyarakat dan pengendali sistem pengangkutan tersebut melaksanakannya dengan lancar,” jelas Liputo.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN