MORTERATSCH: Pencairan glasier di Alps dilaporkan mengalihkan garis sempadan antara Switzerland dan Itali.
Situasi itu secara tidak langsung meletakkan sebuah rumah persinggahan yang berada di lokasi kawasan pergunungan Itali itu dalam pertikaian.
Lapor The Guardian, garis sempadan terletak sepanjang pembahagian saliran, kawasan ais yang cair mengalir menuruni kedua-dua bahagian gunung menuju ke salah satu negara.
Namun, pencairan Theodul Glacier bermakna tadahan air menyusur ke arah Rifugio Guide del Cervino, sebuah rumah persinggahan berhampiran puncak Testa Grigia setinggi 3,480 meter.
Baru-baru ini, seorang lelaki yang mengunjungi restoran di rumah persinggahan kawasan gunung itu turut mempersoal lokasi premis berkenaan.
“Jadi, adakah kita kini berada di Switzerland ?,” soalnya.
Respons soalan itu menjadi subjek rundingan diplomatik pada 2018 dan dimuktamadkan dengan kompromi pada tahun lalu namun butiran perbincangan masih kekal rahsia.
Ketika rumah persinggahan itu dibina atas singkapan berbatu pada 1984, sebahagian ruang yang terdiri daripada 40 katil dan beberapa meja kayu panjang, terletak sepenuhnya dalam wilayah Itali.
Namun, kini dua pertiga kawasan di rumah persinggahan itu termasuk sebahagian besar ruang katil dan restoran, secara teknikalnya terletak di selatan Switzerland.
Isu ini menjadi perhatian memandangkan kawasan itu terletak di puncak salah satu pusat peranginan ski terbesar dunia, dengan projek pembangunan baharu termasuk stesen kereta kabel sedang dibina berhampiran.