LONDON: Kebanyakan pasar raya di United Kingdom (UK) bertindak memasang tag anti-kecurian pada bahan makanan ruji seperti keju, daging dan tin susu formula bayi yang dikelaskan sebagai barangan bernilai tinggi.
Langkah itu dibuat ketika krisis kos sara hidup semakin meningkat yang mendorong kes kecurian.
Lapor Daily Mail, beberapa gambar dikongsi pembeli menunjukkan tag anti-kecurian dipasang pada keju jenama Aldi yang berharga 3.99 pound (RM21.12) dan daging lamb chop berharga 8 pound (RM42.35) di Wolverhampton.
Tag anti-kecurian itu diletakkan selepas didapati orang ramai mencuri barangan berkenaan kerana krisis kos sara hidup.
“Tesco juga memasang tag anti-kecurian pada tin susu formula bayi di cawangan Streatham, selatan London selepas pasar raya Sainsbury bertindak melakukan demikian.
“Alat anti-kecurian itu juga diletakkan pada beberapa barang lain yang sudah naik harga sejak tahun lalu,” jelas laporan itu.
Sementara itu, harga mentega jenama Lurpak mencecah hampir 10 pound (RM52.94) bagi sekilogram di sebuah pasar raya di Iceland.
Data dari laman sesawang trolley.co.uk pula mendedahkan mentega jenama sama seberat 500 gram meningkat kira-kira 2.25 hingga 5 pound (RM11.91 hingga RM26.47) tahun lalu dan turut dipasang tag anti-kecurian.
Pasar raya Sainsbury pula menjual mentega sama seberat 750 gram pada harga 7.25 pound (RM38.38), meningkat daripada 5.90 pound (RM31.23) sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sainsbury, Simon Robert berkata, pihaknya berusaha mengurangkan kos merentasi operasinya dalam keadaan inflasi yang berterusan.
Katanya, ramai pelanggan sedang berdepan ‘masa sukar’ dan kesan krisis akan mengambil masa lama berbanding seperti yang diramalkan.