Masa depan generasi muda jadi taruhan - Utusan Malaysia

Masa depan generasi muda jadi taruhan

KEADAAN kelas yang dikunci di sebuah sekolah kerajaan di Colombo, Sri Lanka. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Ramai pihak menyuarakan kebimbangan mengenai masa depan generasi muda apabila sekolah kerap ditutup susulan krisis ekonomi di Sri Lanka.

Sebelum ini, sekolah di negara itu ditutup selama dua minggu dan terkini, Kementerian Pendidikan menyambung lagi penutupan selama seminggu bermula Isnin.

Malah, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) juga dikatakan tidak cukup menyeluruh dan bukan semua keluarga mampu melaksanakannya.

Dengan kegawatan ekonomi yang semakin meruncing, Kementerian Pendidikan mengumumkan ‘cuti minggu’ lebih awal bagi semua sekolah di seluruh negara.

Pengumuman itu dibuat selepas semakan rasmi ‘pemberitahuan mengenai pengagihan bahan api’ di negara ini.

“Tarikh 4 hingga 8 Julai akan diisytiharkan sebagai cuti untuk semua sekolah kerajaan dan sekolah swasta yang diluluskan kerajaan di seluruh Sri Lanka,” jelas satu pekeliling dikeluarkan oleh kementerian.

Pengumuman terbaharu itu dibuat selepas sekolah di Colombo dan kawasan bandar lain ditutup selama dua minggu secara berturut-turut.

Sesi PdPR diadakan secara dalam talian dengan pihak berkuasa sebelum ini menyifatkan masalah pengangkutan disebabkan krisis bahan api.

Sri Lanka sedang menghadapi krisis kewangan paling buruk sejak tujuh dekad lalu.

Colombo juga bergelut mencari dana bagi membiayai import paling penting seperti bahan api, makanan dan ubat-ubatan.

Bekalan petrol dan diesel sedia ada ketika ini hanya mencukupi untuk beberapa hari lagi.

Malah, bekalan tersebut kini dikhususkan bagi kegunaan dalam perkhidmatan penting seperti kesihatan, pengangkutan awam dan pengagihan makanan.

Beberapa gambar tular dalam media sosial memaparkan orang ramai sedang beratur untuk mengisi petrol di stesen minyak di seluruh Colombo.

Sebahagian besar penduduk juga sanggup menunggu lebih 48 jam untuk mendapatkan minyak petrol.

JEJAS MASA DEPAN

Dalam pada itu, pemimpin Parti Kemanusiaan Sri Lanka, Prof. Chandima Wijegunawardena berkata, penutupan sekolah akan menjejaskan masa depan generasi akan datang.

“Sungguh menyedihkan tindakan ahli Parlimen menjejaskan pendidikan kanak-kanak,” katanya.

Kegawatan ekonomi mencetuskan krisis politik sehingga Presiden Gotabaya Rajapaksa berdepan tuduhan rasuah dan salah urus ekonomi.

Wijegunawardena berkata, kerajaan harus melaksanakan sistem yang membolehkan pelajar menghadiri sekolah berhampiran rumah mereka.

“Ia adalah sistem yang membolehkan kanak-kanak pergi ke sekolah berhampiran rumah
mereka, jadi peraturan ini boleh dikenakan kepada guru dan kakitangan lain.

“Dasar dan syarat boleh diubah berdasarkan perubahan zaman,” katanya.

TIDAK HARUS TERCICIR

Sementara itu, pengetua Kolej Zahira di Colombo, Ismeth Fatima berkata, pelajar tidak harus tercicir daripada pendidikan di sekolah.

“Biar pelajar pergi ke sekolah berhampiran dan guru perlu dipindahkan ke tempat asal mereka supaya dapat mengurangkan kos perjalanan.

“Amat menyedihkan negara terpaksa melalui situasi getir seperti ini,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN