COLOMBO: Gotabaya Rajapaksa akhirnya menyerahkan surat peletakan jawatan selepas tiba di Singapura kelmarin.
Menurut Speaker Parlimen, Mahinda Yapa Abeywardana, surat peletakan Rajapaksa sudah disahkan oleh pihak berkuasa.
“Beliau sudah meletak jawatan sebagai presiden secara rasmi.
“Saya sudah menerima surat peletakan jawatan itu dah sudah disahkan,” katanya.
Jurucakap Speaker Parlimen Sri Lanka, Indunil Yapa sebelum ini berkata, Rajapaksa menyerahkan surat peletakan jawatannya menerusi emel dan akan diteliti sebelum diumumkan secara rasmi.
“Kami akan memastikan surat itu adalah asli sebelum diumumkan secara rasmi,” katanya.
Pemimpin berusia 73 tahun itu meninggalkan Sri Lanka pada Rabu lalu untuk ke Maldives sebelum menuju ke Singapura.
Rajapaksa bakal menjadi presiden pertama yang meletak jawatan sejak Sri Lanka mengamalkan sistem presiden dalam kerajaan pada 1978.
Sejumlah penunjuk perasaan yang masih memenuhi sebahagian daripada kawasan di Colombo bersorak dan menari selepas berita mengenai surat peletakan Rajapaksa dihebahkan.
“Inilah saat yang kami tunggu-tunggu. Namun, ini baru langkah permulaan,” ujar seorang daripada penunjuk perasaan, Harinda Fonseka.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Singapura mengesahkan pesawat yang membawa Rajapaksa dibenarkan mendarat di republik itu menggunakan ‘lawatan peribadi’.
Sehingga kini, tiada maklumat yang menyatakan Rajapaksa memohon suaka politik ataupun diberikan faedah itu di Singapura.
Beliau juga dijangka berada di Singapura bagi tempoh tertentu sebelum berpindah ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menjalani hidup dalam buangan. – AFP