RAMALLAH: Dua penduduk Palestin maut akibat ditembak semasa sebuan oleh tentera Israel di bandar Nablus di Tebing Barat yang dijajah rejim zionis.
Kementerian Kesihatan Palestin menerusi kenyataan memaklumkan Muhamad Azizi, 25, ditembak di bahagian dada manakala Abdul Rahman Jamal Suleiman Sobh, 28, ditembak di kepala.
Jelas kenyataan itu, enam lagi penduduk mengalami kecederaan termasuk dua dalam keadaan parah.
Sementara itu, tentera Israel memaklumkan pihaknya menjalankan operasi di Nablus tanpa mengulas kenyataan pihak Palestin mengenai kes kematian penduduk akibat ditembak.
Rejim zionis dalam kenyataan memaklumkan insiden berbalas tembakan berlaku antara suspek kumpulan bersenjata dan pasukan tenteranya.
Sekurang-kurangnya 52 penduduk Palestin terbunuh sejak akhir Mac lalu yang mana kebanyakan insiden berlaku di Tebing Barat.
Tentera Israel melakukan operasi serbuan dan tangkapan hampir setiap hari di Tebing Barat yang dijajah berikutan beberapa serangan di Israel sejak beberapa bulan kebelakangan ini. – AFP