COLOMBO: Presiden Sri Lanka yang digulingkan, Gotabaya Rajapaksa yang melarikan diri ke Singapura memberi jaminan beliau akan ‘mengambil semua langkah yang sewajarnya untuk memulihkan krisis ekonomi yang melanda negara ini’.
Peletakan jawatan Rajapaksa diterima oleh Parlimen pada Jumaat lalu, selepas beliau melarikan diri ke Maldives, kemudian ke Singapura selepas kediamannya diserbu penunjuk perasaan yang bertegas mahu belkiau berundur daripada jawatannya.
Parlimen Sri Lanka semalam memulakan proses pemilihan presiden baharu, ketika kapal yang membawa bekalan bahan api tiba di negara ini bagi mengurangkan beban yang dihadapi rakyat.
Jaminan yang dibuat Rajapaksa itu terkandung dalam surat peletakan jawatannya yang tidak pernah didedahkan sebelum ini.
Menerusi surat itu, Rajapaksa menyatakan krisis kewangan yang dihadapi Sri Lanka sudah berlangsung selama beberapa tahun dan diburukkan lagi dengan pandemik Covid-19.
“Saya akan ambil semua langkah yang sewajarnya untuk menghentikan semua krisis yang berlaku ketika ini, termasuk mencadangkan Parlimen membentuk kerajaan perpaduan,” katanya dalam surat berkenaan.
Dalam pada itu, undian bagi menentukan siapa pemimpin baharu negara ini dijangka diadakan pada Rabu depan. – REUTERS











