SYDNEY: Ribuan penduduk di Sydney diarah berpindah selepas paras air sungai mula melimpah sehingga membanjiri kawasan tanah serta empangan terbesar di bandar itu.
Perkhidmatan kecemasan Australia memaklumkan, pihaknya sudah menyelamatkan 20 orang dalam tempoh 12 jam lalu yang terperangkap dalam kereta di jalan raya yang dilanda banjir di New South Wales.
Pegawai Kanan Perkhidmatan Kecemasan Negeri, Ashley Sullivan berkata, kira-kira 32,000 orang berada di bawah amaran pemindahan di kawasan itu.
“Kami mengesan air sungai naik dengan cepat, jauh lebih cepat daripada jangkaan.
“Peningkatan paras air di beberapa kawasan mungkin melebihi paras yang direkodkan ketika bencana banjir maut yang dialami di pantai timur Australia dua tahun lalu,” katanya.
Australia kini berada dalam situasi perubahan iklim yang mendadak dengan kemarau, kebakaran belukar, kerosakan batu karang Great Barrier Reef serta banjir luar biasa.
Suhu lebih tinggi bermakna atmosfera menjadi lebih lembap dan mengeluarkan lebih banyak hujan.
Gambar yang disiarkan dalam televisyen menunjukkan kawasan sungai bertukar warna coklat lumpur sehingga mengubah kawasan yang luas menjadi tasik di pinggir bandar Camden di barat daya Sydney.
Jalan raya pula tidak kelihatan serta ada kediaman yang roboh dihanyutkan air banjir.
Di beberapa kawasan, banjir sudah mencecah paras lutut dan jumlah air di Empangan Warragamba merekodkan paras berlebihan.
Mac lalu, lebih 20 orang maut dan air banjir yang mengalir deras mencecah paras bumbung serta menghanyutkan kereta dari jalan raya.-AFP