Arthur's Stone berusia 5,000 tahun digali   - Utusan Malaysia

Arthur’s Stone berusia 5,000 tahun digali  

ARTHUR'S STONE tidak pernah digali sebelum ini. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Sekumpulan ahli arkeologi melakukan kerja-kerja menggali di Arthur’s Stone iaitu sebuah makam legenda Raja Arthur di England yang dikatakan berjaya mengalahkan gergasi.    

Makam yang berasal antara 3,700 dan 2,700 sebelum Masihi (SM) terletak di puncak bukit di luar perkampungan Dorstone di Golden Valley di Herefordshire.

Lapor Daily Mail, makam berusia 5,000 tahun itu terdiri daripada sembilan batu tegak dengan sebuah batu penjuru besar seberat lebih 25 tan menutup bahagian atas.   

Arthur’s Stone dari era Neolitik itu tidak pernah digali sebelum ini.

Malah, monumen itu dikatakan memberi inspirasi kepada `meja batu’ dalam novel siri The Chronicles of Narnia: The Lion, the Witch and the Wardrobe karya C.S Lewis.

Tahun lalu, pakar arkeologi menggali sebidang tanah bersebelahan Arthur’s Stone, namun kerja penggalian membabitkan makam itu sendiri adalah kali pertama dilakukan.

Pasukan arkeologi dari Universiti Manchester, dengan kerjasama pertubuhan English Heritage ditugaskan untuk mendedahkan dan merekodkan tinggalan arkeologi yang sensitif.

Pakar dari Universiti Manchester, Prof. Julian Thomas berkata, Arthur’s Stone merupakan antara monumen prasejarah yang terkenal di negara ini dan terletak di lokasi menakjubkan, namun masih kurang difahami.

“Kerja kami adalah cuba memulihkannya ke tempat yang sepatutnya dalam kisah era Neolitik Britain,” katanya.      

Penyelidik berharap kerja penggalian itu akan mendedahkan penemuan baharu yang memberi penerangan lanjut mengenai sejarah struktur tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN