MEKAH: Sejuta jemaah berkumpul di Mina ketika rukun ibadah haji bagi tahun ini sudah pun bermula, menyaksikan kehadiran jemaah terbesar sejak pandemik Covid-19 melanda dunia.
Mina yang berkeluasan kira-kira 20 kilometer per segi dan terletak hampir lima kilometer dari Masjidilharam menyaksikan para jemaah berehat dan bermalam semasa hari kelapan Zulhijjah.
Pada hari kedua ibadah haji bermula, para jemaah akan bergerak ke Arafah yang terletak 20 kilometer dari Mina dan di Masjid Namirah, jemaah akan menunaikan solat jamak Zuhur dan Asar serta mendengar khutbah Hari Arafah.
Selain bahasa Melayu, khutbah itu juga diterjemahkan dalam bahasa Inggeris, Perancis, Urdu, Russia, Cina, Turki dan Hausa.
Amalan wukuf di Arafah mengikuti jejak langkah Nabi Muhammad SAW yang menyampaikan khutbah terakhir pada sembilan Zulhijjah iaitu 10 tahun selepas penghjirahan baginda dari Mekah ke Madinah.
Hari Arafah, hari di mana para jemaah haji berkumpul untuk berdoa dan bertaqarrub kepada Allah.
Selain bahasa Melayu, khutbah itu juga diterjemahkan dalam bahasa Inggeris, Perancis, Urdu, Russia, Cina, Turki dan Hausa.
Selepas matahari terbenam, jemaah akan turun dari Arafah dan meneruskan perjalanan ke Muzdalifah untuk menunaikan solat Isyak dan melakukan rukun melontar keesokan harinya.
Jemaah kemudiannya melakukan perjalanan pulang ke Mina dan melontar di Jamarat al-Aqabah, jamrah al-Wusta dan jamrah al-Sughra.
Dalam pada itu, kerajaan Arab Saudi menzahirkan rasa syukur ibadah haji tahun ini dilihat dapat dilaksanakan dengan lancar.
Rasa kesyukuran juga dizahirkan oleh para jemaah yang sudah lama menunggu saat untuk menjejakkan kaki ke tanah suci.
Jemaah dari Pakistan, Abdullah Shamim berkata, garis panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi memudahkan pergerakan mereka, selain pada masa sama mematuhi peraturan bagi mengurangkan jangkitan Covid-19.
“Peluang menunaikan haji selepas pandemik amat bermakna untuk semua umat Islam dan kami berharap haji dapat diteruskan untuk tahun-tahun yang seterusnya,” ujarnya.