MOSCOW: Satu kajian baharu mendedahkan Russia mencatatkan pendapatan sebanyak AS$98 bilion (RM433.1 bilion) daripada eksport bahan api fosil dalam tempoh 100 hari pertama pencerobohan Moscow di Ukraine.
Malah, kajian itu turut mendapati negara Kesatuan Eropah (EU) menjadi pengimport utama bagi bahan api fosil Russia.
Laporan dikeluarkan oleh Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara Bersih (CREA) yang berpangkalan di Finland, diterbitkan ketika tentera Russia terus berusaha untuk menawan sepenuhnya wilayah Donbas di timur Ukraine.
Berdasarkan laporan CREA, negara-negara EU mengimport sebanyak 61 peratus daripada bahan api fosil Russia sepanjang tempoh 100 hari perang di Ukraine, yang bernilai kira-kira AS$60 bilion (RM265.1 bilion).
Secara keseluruhannya, pengimport utama merupakan China yang menyumbang sebanyak AS$13.2 bilion (RM58.3 bilion), Jerman (RM56.1 bilion), Itali (RM36.2 bilion), Belanda (RM37.1 bilion).
Selain itu, pengimport utama lain terdiri daripada Turki yang menyumbang sebanyak (AS$7 bilion (RM30.9 bilion), Poland (RM20.3 bilion), Perancis (RM19.8 bilion) dan India (RM15.9 bilion).
Hasil pendapatan bahan api fosil Russia datang dari penjualan minyak mentah sebanyak AS$48.2 bilion (RM213 bilion), diikuti saluran paip gas (RM110.9 bilion), produk minyak (RM60.1 bilion), gas asli cecair (LNG) (RM23.4 bilion) dan arang batu (RM21.2 bilion).
Eksport Russia menurun pada bulan lalu dengan kebanyakan negara dan syarikat menghentikan bekalan ketika insiden pencerobohan Moscow di Ukraine.
Namun, kenaikan harga bahan api fosil di peringkat global terus memenuhi kewangan Kremlin, dengan pendapatan eksport mencapai rekod tertinggi.
* PERANCIS TINGKATKAN PEMBELIAN
Dalam pada itu, penganalisis CREA, Lauri Myllyvirta berkata, purata harga eksport Russia adalah kira-kira 60 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu.
Jelasnya, ia berikutan beberapa negara termasuk China, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Perancis meningkatkan pembelian dari Russia.
“India menjadi pengimport penting minyak mentah Russia dengan membeli 18 peratus daripada keseluruhan eksport negara itu,” katanya.
Tambahnya, sebahagian besar minyak mentah dieksport semula sebagai produk minyak ditapis termasuk ke AS dan Eropah.
“Oleh kerana, EU sedang mempertimbangkan mengenakan sekatan lebih ketat terhadap Russia, justeru Perancis meningkatkan importnya untuk menjadi pembeli LNG terbesar di dunia,” katanya.
Jelas beliau, Perancis memutuskan untuk menggunakan bekalan tenaga Russia memandangkan kebanyakannya membabitkan pembelian langsung dan bukannya kontrak jangka panjang.
Justeru, Myllyvirta menggesa sekatan turut dikenakan ke atas bahan api fosil Russia.
“Gesaan itu perlu disusuli dengan tindakan,” katanya.
Amerika Syarikat (AS) dan EU membekalkan senjata dan dana kepada Ukraine untuk membantu negara itu menentang kemaraan Russia, di samping mengenakan sekatan ekonomi berat ke atas Moscow.
Namun, Kyiv menggesa negara-negara Barat untuk memutuskan semua perjanjian perdagangan dengan Moscow berikutan tindakan menceroboh Ukraine sejak 24 Februari lalu.
Sebelum insiden pencerobohan, EU menerima kira-kira 40 peratus bekalan gasnya dan 27 peratus import minyak dari Russia.
Terdahulu, blok EU bersetuju untuk menghentikan sebahagian besar import minyak Russia dan mengurangkan penghantaran gas sebanyak dua pertiga tahun ini.
* JAMBATAN KELUAR MASUK SEVERODONETSK MUSNAH
Sementara itu, gabenor Serhiy Haidai berkata, semua jambatan masuk ke bandar Severodonetsk di Ukraine sudah dimusnahkan.
Memetik laporan BBC, Haidai berkata, penghantaran bekalan dan pemindahan orang awam hampir mustahil dilaksanakan memandangkan bandar itu kini sudah diasingkan.
Pertempuran sengit sedang berlaku di bandar timur itu yang mana pegawai Ukraine berkata, serangan Rusia memaksa pasukan tentera Ukraine keluar dari kawasan tersebut.
“Kesemua tiga jambatan di jalan masuk Severodonetsk sudah musnah.
“Penduduk yang terperangkap di bandar tersebut terpaksa berdepan `keadaan amat sukar sekali’,” kata Haidai menerusi Telegram. – AGENSI