BANGKOK: Seramai 59 etnik Rohingya ditemukan di pulau Koh Dong, Thailand selepas terkandas ketika dalam perjalanan menuju ke Malaysia.
Pegawai Polis Kanan, Leftenan Jeneral Surachet Hakpan berkata, selain orang dewasa, pelarian turut melibatkan lima kanak-kanak semasa ditemukan di wilayah Satun yang terletak di bahagian selatan negara.
Jelasnya, kesemua pelarian itu bakal didakwa kerana memasuki negara secara haram dan akan dihantar pulang semula ke Myanmar menerusi prosedur mahkamah.
“Kita akan memberikan bantuan kemanusiaan dan menyiasat sama ada mereka adalah mangsa pemerdagangan manusia atau masuk secara haram.
“Pelarian itu dilihat kelaparan kerana tiada makanan selama tiga ke lima hari,” katanya.
Hakpan berkata, bot yang dinaiki mereka merupakan antara tiga bot yang membawa seramai 178 orang dari Myanmar dan Bangladesh.
Pelarian tersebut perlu membayar sdebanyak RM5,000 kepada ejen yang mengaturkan perjalanan mereka.
Difahamkan, bot pertama yang membawa seramai 119 orang berjaya diberkas oleh pihak berkuasa Malaysia.
Insiden itu berlaku selepas penemuan mayat 14 warga Rohingya termasuk kanak-kanak yang ditemukan terdampar di laut, bulan lalu, selepas melarikan diri dari Myanmar.
Setiap tahun, ribuan etnik Rohingya sanggup merisikokan diri mereka meredah perjalanan jauh semata-mata menyelamatkan diri ke Malaysia melalui perairan Thailand.-AFP










