SALEM: Beberapa jalan di sekitar Portland kelihatan seperti `lubuk jual beli dadah secara terbuka’ selepas pihak berkuasa melancarkan operasi menghapuskan kegiatan penagihan dan pengedaran bahan terlarang itu di bandar berkenaan.
Malah, sindiket itu dikatakan mendorong peningkatan kes kematian akibat pengambilan dadah berlebihan.
Lapor Daily Mail, menurut pegawai penguatkuasa undang-undang, jalan di sekitar Portland penuh dengan gelandangan yang membeli dan menjual dadah secara terbuka.
Jelasnya, situasi itu menunjukkan tanda ketagihan dadah semakin meningkat di seluruh negeri Oregon.
Beberapa gambar didedahkan menunjukkan penduduk di bandar Barat Laut Pasifik itu secara selamba menyuntik dadah atau dalam keadaan khayal pada siang hari.
Situasi mengerikan itu muncul kira-kira 16 bulan selepas Ballot Measures 110 dilaksanakan bagi memerangi jenayah berkaitan dadah di negeri ditadbir parti Demokrat.
Oregon merupakan negeri pertama di Amerika Syarikat (AS) yang melaksanakan peraturan memerangi pemilikan heroin, methamphetamine, LSD, oxycodone dan dadah lain dalam jumlah kegunaan peribadi.
Sementara itu, Fox News melaporkan, kes kematian akibat pengambilan dadah berlebihan di Oregon juga mencecah paras tertinggi sepanjang tahun lalu dengan mencatatkan sebanyak 1,069 kes.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 41 peratus berbanding kes dilaporkan pada 2020.