IOWA: Ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mendesak pihak berkuasa mengenakan undang-undang yang lebih tegas mengenai pemilikan senjata api di negara ini, tiga lagi maut akibat serangan tembakan di Iowa.
Insiden kali ini melibatkan seorang lelaki menembak dua wanita sebelum menembak dirinya di tempat letak kenderaan di sebuah gereja di sini semalam.
Insiden terbaharu itu menambah ‘koleksi kejadian tembakan’ di Amerika Syarikat (AS) yang kini disifatkan semakin kritikal.
Menurut Timbalan Ketua Pejabat Sherif Daerah Story, Nicholas Lennie, insiden kali ini berlaku di luar Gereja Cornerstone di bandar Ames ketika program keagamaan sedang berlangsung.
Polis yang dikerahkan ke lokasi kejadian menemukan tiga mayat terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki yang dipercayai suspek tanpa mendedahkan identiti mereka.
“Suspek dipercayai bertindak seorang diri dan membunuh dirinya selepas menembak dua mangsa,” katanya.
Terdahulu, Biden menggesa Kongres supaya mengharamkan senjata serangan, meluaskan pemeriksaan latar belakang untuk mereka yang ingin memiliki senjata api dan melaksanakan polisi pemilikan lebih ketat.
“Cukup, Cukup! Semua insiden yang meragut nyawa tidak bersalah ini perlu dihentikan segera kerana AS sudah tidak mampu meratapi kehilangan insan tersayang,” katanya.
Sejak beberapa minggu lalu, AS dicemari dengan sejumlah insiden tembakan yang meragut 10 nyawa penduduk kulit hitam di Buffalo, New York, 21 termasuk 19 murid dan guru di Texas, dan dua doktor serta seorang petugas dan pesakit di hospital Oklahoma.
Malah, dua cedera apabila beberapa tembakan dilepaskan ke arah orang ramai yang menghadiri majlis pengebumian di Racine, Washington. – REUTERS