Krisis Sri Lanka paksa rakyat cari rezeki di luar negara - Utusan Malaysia

Krisis Sri Lanka paksa rakyat cari rezeki di luar negara

PEMANDU tiga roda beratur di sepanjang jalan untuk membeli petrol dari sebuah stesen minyak di Colombo. - AFP    
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Data kerajaan menunjukkan bilangan rakyat Sri Lanka yang mahu mendapatkan pasport dan seterusnya meninggalkan negara, meningkat dua kali ganda sejak tahun lalu.

Sebahagian besar pemohon pasport mengakui ingin mencari pekerjaan baharu di luar negara ekoran mahu lari daripada krisis kewangan Sri Lanka yang terburuk sejak tujuh dekad lalu.

Memetik laporan Arab News, menurut Jabatan Imigresen Sri Lanka, pihaknya kini menerima sebanyak 4,000 hingga 4,500 permohonan pasport sehari.

Jelas jabatan itu, setahun lalu, ibu pejabat agensi itu hanya memproses kira-kira 2,000 permohonan sehari.

Rata-rata rakyat yang mahu meninggalkan Sri Lanka mengakui situasi negara itu semakin sukar untuk dikawal.

Sri Lanka menghadapi kekurangan rizab pertukaran asing yang paling teruk, dengan kerajaan tidak dapat membiayai import paling penting seperti makanan, bahan api dan ubat-ubatan.

Negara yang mempunyai 22 juta penduduk itu mengalami krisis ekonomi paling teruk selama berbulan-bulan.

Penduduk tidak dapat mengakses petrol, diesel dan gas memasak, manakala makanan ruji berdepan catuan.

Sementara itu, satu tinjauan dijalankan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati kira-kira dua pertiga isi rumah di Sri Lanka dipaksa mengurangkan pengambilan makanan.

Seorang penduduk dikenali sebagai Nandawathie Arachige mengakui keluarganya ketika ini menghadapi kesusahan dan kesempitan wang. 

Nandawathie, 33, dari daerah Kurunegala berkata, dia akan bekerja sebagai pembantu rumah atau penjaga di luar negara agar dapat menyara keluarganya di Sri Lanka.

“Sekurang-kurangnya pendapatan saya itu mampu memudahkan hidup keluarga dan membantu memenuhi keperluan mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN