Kanada usul RUU kawal penggunaan senjata api

Kanada usul RUU kawal penggunaan senjata api

JUSTIN Trudeau - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TORONTO: Kerajaan Kanada seharusnya memperkenalkan larangan penuh terhadap pembelian dan penjualan semua jenis senjata api, menurut Perdana Menteri Justin Trudeau.

Beliau berkata, kerajaannya kini mengusulkan satu rang undang-undang yang bakal membekukan pemilikan persendirian semua senjata api laras pendek.

Rang undang-undang yang diberi nama C-21 tersebut tidak akan mengharamkan pemilikan pistol secara langsung, namun menjadikan pembeliannya tidak sah di sisi undang-undang.

Usul tersebut dikemukakan beberapa hari selepas insiden tembakan berlaku di sekolah rendah di Uvalde, Texas, Amerika Syarikat (AS) yang mengorbankan 21 nyawa termasuk 19 murid.

Rang undang-undang itu juga bakal menyaksikan penduduk Kanada tidak boleh membeli, menjual atau mengimport pistol di seluruh negara.

“Selain digunakan untuk aktiviti sukan menembak dan memburu, tiada sebab lain untuk semua masyarakat Kanada memerlukan pistol dalam aktiviti harian mereka.

“Kita saksikan keganasan senjata api semakin meningkat dan oleh hal yang demikian, menjadi tanggungjawab kita untuk membendungnya,” kata Trudeau.

Selain itu, rang undang-undang berkenaan juga berperanan membatalkan lesen senjata api daripada pemilik yang terlibat dalam keganasan rumah tangga atau jenayah.

Tidak seperti di AS, pemilikan senjata api tidak termaktub dalam Perlembagaan negara, namun senjata itu masih terkenal dalam kalangan penduduk di luar bandar.

Negara ini sudah pun menetapkan peraturan ketat mengenai pemilikan senjata api, seperti semua senjata perlu dikunci dan kosong tidak mempunyai peluru.

Malah, mana-mana pihak yang ingin membeli senjata api mereka perlu menjalani pemeriksaan latar belakang menyeluruh. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN