'Kami tidak pernah lihat banjir seteruk ini'

‘Kami tidak pernah lihat banjir seteruk ini’

PENDUDUK meredah banjir di Sylhet, Bangladesh. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYLHET, Bangladesh: Ribut yang diakibatkan musim monsun di Bangladesh dan India mencetuskan banjir besar, menyaksikan sekurang-kurangnya 59 orang terkorban dan jutaan yang lain terjejas.

Insiden banjir merupakan perkara biasa buat penduduk di kawasan rendah di Bangladesh, namun perubahan iklim menjadikan bencana alam itu semakin kerap berlaku dan semakin sukar dijangka.

Hujan lebat dilaporkan turun sejak minggu lalu di bahagian timur laut Bangladesh, menyaksikan pasukan tentera dikerah ke beberapa lokasi bagi menyelamatkan penduduk yang terkandas akibat banjir.

Banyak sekolah turut dijadikan pusat perlindungan sementara selepas sejumlah rumah musnah dihanyutkan arus banjir yang deras.

“Seluruh kampung sudah ditenggelami air sejak awal pagi Jumaat lalu dan kami terkandas tidak dapat keluar.

“Selepas menunggu lebih satu hari di atas bumbung rumah, kami akhirnya diselamatkan oleh jiran menggunakan bot dan jujurnya, kami tidak pernah melihat banjir seteruk ini,” kata seorang penduduk di kampung Companiganj, Lokman.

Seorang lagi penduduk, Asma Akter memberitahu, banjir besar yang berlaku menyebabkan keluarganya menanggung kelaparan selama dua hari, selain berdepan cuaca sejuk.

“Air naik begitu cepat sehingga kami tidak sempat untuk menyelamatkan barangan penting.

“Dalam keadaan begitu, bagaimana kami boleh masak?,” Soalnya.

DISAMBAR PETIR

Negara ini turut dilanda fenomena petir yang setakat ini meragut sekurang-kurangnya 21 nyawa sejak Jumaat lalu.

Antara yang terkorban termasuk tiga kanak-kanak dan remaja berusia 12 dan 14 tahun.

Ketiga-tiga mangsa itu disambar petir di pekan Nandail.

Selain itu, empat lagi maut akibat tanah runtuh di bandar pelabuhan Chittagong, manakala 16 terbunuh akibat insiden serupa di Meghalaya.

Di negeri Assam di India, lebih 2.6 juta penduduk terjejas akibat banjir yang berlaku, selain 18 terkorban akibat lemas dan tanah runtuh sejak Khamis lalu.

Ketua Menteri Assam, Himanta Biswa Sarma memberitahu media, semua pihak dikerah supaya menghulurkan bantuan sewarjarnya kepada penduduk terjejas dalam kadar segera.

MAKIN TERUK

Dalam pada itu, situasi banjir di Bangladesh dilaporkan semakin teruk sejak semalam apabila hujan lebat terus turun, termasuk di wilayah Sylhet.

Jurucakap kerajaan tempatan, Mosharraf Hossain berkata, situasi semakin teruk dari semasa ke semasa dengan lebih empat juga penduduk terkandas akibat banjir.

Jelasnya, hampir semua kawasan terputus bekalan elektrik, selain menyebabkan lapangan terbang antarabangsa ketiga terbesar di negara ini terpaksa ditutup selepas dinaiki banjir.

Di beberapa kawasan, penduduk setempat dilihat meredah banjir para pinggang untuk mengambil barangan penting di dalam kenderaan dan rumah mereka yang ditenggalami air.

Agensi kaji cuaca meramalkan keadaan buruk akan berterusan selama dua hari lagi dengan hujan lebat berterusan.

Sylhet sebelum ini dalam fasa pemulihan selepas dilanda banjir pada bulan lalu, menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang terkorban dan empat juta terjejas. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.