MANILA: Sebuah gunung berapi di timur Filipina meletus hari ini, dengan mengeluarkan kepulan awan tebal sehingga memaksa penduduk berpindah dari bandar yang dilitupi abu.
Malah, pihak berkuasa memberi amaran kemungkinan berlaku satu lagi letusan.
Menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina, letusan gunung berapi Bulusan di wilayah luar bandar Sorsogon berlangsung selama kira-kira 17 minit, mengakibatkan kepulan asap kelabu setinggi sekurang-kurangnya satu kilometer (km).
Sebagai tindak balas, pihak berkuasa menaikkan amaran kepada tahap satu pada sistem lima peringkat sekaligus menunjukkan ‘situasi huru-hara peringkat rendah’.
“Terdapat letusan freatik gunung berapi Bulusan, bermakna letupan itu disebabkan oleh air mendidih di bawah kawah,” kata ketua institut Renato Solidum kepada radio tempatan DZBB.
Menurut institut itu, abu menjejaskan dua bandar di Sorsogon, kira-kira 500km di selatan Manila, namun tiada laporan segera mengenai kecederaan.
Dalam pada itu, kakitangan pejabat bencana Dennis Despabiladeras berkata, di bandar Juban, dua perkampungan mengalami pandangan yang kabur akibat abu tebal.
Justeru, katanya, sebuah jentera bomba dikerahkan untuk membersihkan kawasan tersebut.
“Proses pemindahan sedang dijalankan dan keutamaan kami adalah warga emas dan penduduk yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan sistem pernafasan terutamanya pesakit asma,” katanya.
Sementara itu, pihak berkuasa lapangan terbang Manila memaklumkan setakat ini, tiada penerbangan terjejas akibat letusan gunung berapi itu.
Jelasnya, para juruterbang sudah diminta untuk berwaspada sekiranya berada berhampiran kawasan tersebut. – AFP










