NEW YORK: Sekurang-kurangnya 10 maut dan puluhan lagi cedera dalam empat insiden tembakan di beberapa bandar di Amerika Syarikat (AS).
Serangan itu merupakan tragedi terkini membabitkan keganasan senjata api yang menggemparkan AS.
Di Philadelphia, pergaduhan antara dua lelaki memuncak kepada berbalas tembakan di sebuah kawasan bar dan restoran yang sesak dengan pelanggan sehingga mengakibatkan tiga maut dan 12 lagi cedera serta mencetuskan panik ketika orang ramai cuba melarikan diri.
Menurut polis, satu lagi insiden tembakan berlaku berhampiran bar di Chattanooga, Tennessee Sabtu lalu, sehingga menyebabkan dua terkorban manakala 14 lagi cedera.
Seorang lagi maut dan dua cedera akibat dirempuh kenderaan dipandu individu yang melarikan diri dari tempat kejadian.
Dalam kejadian berasingan awal pagi semalam, tiga terbunuh dan dua cedera di Saginaw, Michigan, lapor te levisyen WEYI dengan memetik kenyataan polis.
Berbeza dengan dua kes sebelum ini, tembakan kali ini membabitkan kesemua lima individu dengan insiden di Michigan itu, kata polis.
Setakat ini, tiada suspek ditahan bagi mana-mana kes tembakan berkenaan.
Kejadian itu berlaku ketika komuniti di bandar terbabit masih bersedih akibat insiden tembakan beramai-ramai yang mengorbankan 10 orang di sebuah kedai runcit di Buffalo, New York, 21 mangsa di sekolah rendah di Uvalde, Texas dan empat orang di bangunan perubatan di Tulsa, Oklahoma.
Dalam pada itu, kumpulan penyelidikan bebas, Gun Violence Archive mendedahkan sekurang-kurangnya 240 tembakan besar-besaran berlaku di AS setakat tahun ini.
Kumpulan penyelidik itu mentakrifkan kes tembakan beramai-ramai sebagai kejadian yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat mangsa tidak termasuk penembaknya.
Sementara itu, insiden tembakan di Philadelphia membuatkan pegawai terkejut termasuk Datuk Bandar, Jim Kenney menyifatkan kejadian itu sebagai ‘mengerikan, keji dan tidak masuk akal’.
Polis percaya dua lelaki bergaduh dan mula menembak antara satu sama lain, dan seorang daripada mereka maut akibat tembakan itu.
Seorang pegawai polis memerhatikan penembak lain melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai serta ke arah dirinya.









