KUTUPALONG: Puluhan ribu pelarian Rohingya di Bangladesh mengadakan demonstrasi menuntut supaya mereka dihantar pulang semula ke Myanmar.
Hampir sejuta pelarian Rohingya tinggal di sejumlah kem pelarian di tenggara Bangladesh dalam keadaan daif dan tahap kebersihan yang rendah, selain peluang pendidikan yang tipis.
Protes itu merupakan paling besar diadakan sejak Ogos 2019 selepas pihak berkuasa Bangladesh mengenakan larangan ketat kepada mereka.
“Kami tidak mahu lagi tinggal di dalam kem. Menjadi pelarian bukan mudah dan situasinya seperti neraka.
“Cukuplah dengan semua ini, mari kita pulang ke tempat asal,” kata pemimpin komuniti Rohingya, Sayed Ullah ketika berucap dalam protes tersebut.
Pada 2018, siasatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan junta tentera Myanmar melakukan penghapusan etnik Rohingya dengan melakukan operasi ketenteraan terhadap komuniti tersebut.
Tunjuk perasaan tersebut diadakan selepas Menteri Luar Bangladesh dan Myanmar mengadakan mesyuarat buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun pada minggu lalu menerusi persidangan video.
Dalam mesyuarat itu, kedua-dua pemimpin berbincang mengenai penghantaran pulang pelarian Rohingya ke Myanmar yang dijangka bermula tahun ini.
“Kami berharap proses itu dapat dimulakan selepas musim monsun berakhir,” kata jurucakap Kementerian Luar Bangladesh.
Dalam pada itu, ribuan pelarian termasuk kanak-kanak menyertai perarakan dan membawa sepanduk tertulis ‘Cukup! Mari kita pulang’.
Menurut polis, lebih 1,000 pelarian menyertai protes yang dilakukan di setiap 29 kem pelarian.
Sehubungan itu, pihak berkuasa negara ini meningkatkan kawalan keselamatan bagi mengelakkan sebarang rusuhan ganas.
Terdahulu, usaha menghantar pulang sebahagian pelarian Rohingya ke Myanmar menemukan kegagalan apabila mereka meminta Myanmar memberi jaminan dalam keselamatan dan hak sebaik sahaja tiba di Rakhine.
Sementara itu, pelarian Rohingya, Rahmat Ullah memberitahu, dia mahu pulang ke tempat asalnya di Rakhine kerana itu adalah tanah air mereka.
“Kami adalah Rohingya dan kami mahukan jaminan menyeluruh sebelum dihantar pulang demi hak dan keselamatan kami,” tegasnya. – AFP