RECIFE: Sekurang-kurangnya 106 orang maut akibat banjir dan tanah runtuh susulan hujan lebat melanda timur laut Brazil.
Angka kematian itu diumumkan oleh pihak berkuasa ketika pasukan penyelamat masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Tanah runtuh memusnahkan sebahagian besar kediaman di beberapa kawasan perumahan termasuk Jardim Monteverde, sebuah komuniti miskin di luar bandar Recife.
Penduduk tempatan menyamakan gelombang banjir lumpur yang membadai kediaman mereka seperti deruan tsunami.
“Ia merupakan satu tragedi yang tidak disangka, saya kehilangan ramai kawan,” kata penduduk bernama Maria Heronize sambil menangis.
Dalam pada itu, pasukan penyelamat menemukan puluhan mayat tertimbus selepas banjir melanda kawasan perumahan itu pada Sabtu lalu.
Menurut kerajaan wilayah Pernambuco, enam lagi mayat yang dilaporkan hilang di kawasan perumahan itu, berjaya ditemukan Jumaat lalu, sekali gus menamatkan operasi mencari dan menyelamat.
Sementara itu, di tempat lain, pegawai pengurusan bencana memaklumkan sekurang-kurangnya lapan orang dilaporkan hilang akibat bencana itu. – AFP