fbpx

Zionis mahu bina 4,427 lagi penempatan haram di Tebing Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel semalam meneruskan langkah dalam perancangan membina 4,427 unit rumah lagi untuk memperluas penempatan haram Yahudi di Tebing Barat, menurut sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Israel.

Pertubuhan yang memantau perkara itu, Peace Now, mendakwa jawatankuasa perancangan tinggi Pentadbiran Awam memberi kelulusan akhir untuk pembinaan 2,791 unit rumah dan pengesahan awal bagi 1,636 unit lagi.

“Ini adalah berita buruk untuk Israel dan penambahan pendudukan terbabit menyukarkan lagi usaha mencapai keamanan pada masa depan,” kata Hagit Ofran daripada Peace Now.

Laporan berhubung peluasan pendudukan itu menyusul tatkala ketegangan semakin memuncak di Tebing Barat, sehari selepas wartawan veteran Al Jazeera, Shireen Abu Akleh dilaporkan ditembak mati ketika tentera Israel menyerbu kem pelarian Jenin.

Malah, Amerika Syarikat (AS) dilaporkan turut membantah sekeras-kerasnya pembinaan sedemikian di Tebing Barat.

Sejak itu, hampir 700,000 penduduk Yahudi berpindah ke penempatan terbabit yang disifatkan sebagai haram oleh sebahagian besar komuniti antarabangsa.

Sebelum ini, timbalan jurucakap Jabatan Negara AS, Jalina Porter, menegaskan bahawa program Israel untuk memperluas penempatan sangat menjejaskan prospek ke arah penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin.

Semalam, jurucakap Kementerian Luar Jordan, Haitham Abu Al-Ful, membidas rancangan baharu itu sebagai ‘pelanggaran nyata’ terhadap undang-undang antarabangsa.

“Tindakan unilateral Israel seperti membina serta memperluaskan penempatan, merampas tanah dan memindahkan rakyat Palestin adalah haram, tidak sah, ditolak serta dikesali,” katanya.

Pelan perumahan itu membabitkan sebuah kawasan luas di Tebing Barat dikenali sebagai Kawasan C di mana Israel melaksanakan kawalan perancangan dan ketenteraan.

Sejak 1967, setiap pentadbiran Israel berterusan memperluaskan pendudukan rejim itu di Tebing Barat serta Baitulmuqaddis Timur.

Malah, pembinaan kian meningkat beberapa tahun lalu bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Pengganti Netanyahu, Naftali Bennett pula adalah bekas ketua kumpulan pelobi penempatan dan menentang kenegaraan Palestin.

“Adalah mengecewakan bahawa kerajaan yang kononnya menjanjikan perubahan ini, mengikut dasar yang sama dengan pentadbiran Netanyahu,” kata Ofran. – AFP

POPULAR

KOSMO! TERKINI