KYIV: Presiden Volodymyr Zelensky menggesa tempoh gencatan senjata dilanjutkan bagi membolehkan lebih ramai penduduk dipindahkan dari bandar Mariupol di Ukraine.
Gesaan itu dibuat ketika Russia meningkatkan serangan di kilang keluli Azovstal.
Lapor Al Jazeera, kira-kira 200 orang awam termasuk kanak-kanak dikatakan berlindung di kubu bawah tanah di kilang tersebut.
Justeru, Zelensky berkata, tempoh gencatan senjata itu perlu dilanjutkan bagi membolehkan semua penduduk dipindahkan dari kawasan tersebut.
“Proses pemindahan itu akan mengambil masa yang agak panjang.
“Kita perlu membawa keluar penduduk dari ruang bawah tanah dan keluar dari tempat perlindungan itu.
“Malah, mengambil kira situasi semasa, kami juga tidak boleh menggunakan jentera berat untuk membersihkan runtuhan itu. Semuanya perlu dilakukan menggunakan tangan,” katanya.
Terdahulu, Zelensky merayu Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) menyelamatkan nyawa rakyatnya yang tercedera dan terperangkap di bawah kilang Azovstal, di bandar Mariupol.
Katanya, nyawa rakyat yang masih berada di sana dalam bahaya.