SYDNEY: Seorang wanita menawarkan wang tunai berjumlah AU$1,000 (RM3,094) kepada mana-mana pihak yang sudi membantu dan menemani dia bersama tiga anaknya melakukan penerbangan dari Sydney ke London.
Wanita yang dikenali sebagai Rachel itu bercadang menaiki penerbangan Malaysia Airlines untuk pulang ke Sydney dari London selepas menghadiri majlis perkahwinan adiknya di United Kingdom (UK).
Namun, dia berasa tidak yakin untuk menguruskan tiga anaknya yang masing-masing berusia empat dan dua tahun serta bayi berusia dua bulan.
Lapor Daily Mail, suaminya tidak dapat menemaninya ke UK disebabkan urusan kerja dan sehubungan itu, Rachel mengiklankan tawaran tersebut dalam Facebook.
“Sesiapa yang bakal membuat perjalanan dari London ke Sydney dan mahukan wang tunai sebanyak AU$1,000?
“Anda cuma perlu bantu saya dukung bayi supaya saya boleh uruskan dua lagi kakaknya, termasuk memberi mereka makan dan hiburkan mereka.
“Penerbangan itu mengambil masa selama 23 jam dan jangan risau, saya bukannya mahu anda membantu saya sepenuhnya sepanjang tempoh itu,” tulis Rachel dalam Facebook.
Selain itu, Rachel juga memaklumkan, ‘pembantunya’ bebas melakukan apa yang mereka ingini asalkan anak-anaknya terurus dan penerbangan mereka berjalan lancar.
Dalam pada itu, wanita tersebut memberitahu, tawarannya mendapat sambutan yang menggalakkan dan banyak pihak ingin membantunya.
Katanya, banyak pihak mencadangkan pelbagai idea yang boleh digunakannya untuk melakukan penerbangan lebih mudah bersama tiga anaknya.
“Saya sudah pun membuat senarai pendek calon pembantu saya dan akan umumkan tidak lama lagi,” ujarnya.