Wanita Afghanistan bantah, kutuk Taliban wajibkan pakai burka

Wanita Afghanistan bantah, kutuk Taliban wajibkan pakai burka

SEORANG wanita mengenakan burka berjalan bersama seorang kanak-kanak di sebuah jalan di Kabul. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Golongan wanita Afghanistan mengutuk dan membantah peraturan dikenakan oleh kerajaan Taliban yang mewajibkan golongan itu memakai burka yang menutupi keseluruhan tubuh badan ketika berada di khalayak ramai.

Sambil menyifatkan peraturan ketat itu sebagai tidak munasabah, golongan itu turut mempertikaikan mengapa mereka perlu dilayan seperti rakyat ‘kelas ketiga’.

Memetik laporkan Al Jazeera, seorang pensyarah universiti dari Kabul yang dikenali sebagai Marzia mengkritik tindakan Taliban yang kerap menilai ‘wanita sebagai objek seksual’.

“Saya seorang wanita Muslim yang mengamalkan dan menghargai apa yang diajar dalam agama Islam.

“Jika mereka sebagai lelaki Islam mempunyai masalah dengan hijab saya, maka mereka harus memerhati diri sendiri dan menundukkan pandangan.

“Mengapa kami harus dilayan seperti rakyat kelas ketiga hanya kerana mereka tidak boleh mengawal nafsu seksual mereka,” soal Marzia.

Nama sebenar pensyarah itu dirahsiakan untuk melindungi identitinya kerana bimbang implikasi Taliban akibat menyuarakan pandangan secara terbuka.

 

TIADA MAHRAM 

Jelas Marzia, sebagai wanita bujang yang menjaga ibunya, dia tidak mempunyai mahram.

Katanya, dia merupakan satu-satunya pencari nafkah dalam keluarganya.

“Saya belum berkahwin dan bapa saya sudah lama meninggal dunia dan saya menjaga ibu.

“Taliban membunuh abang saya, satu-satunya mahram saya dalam serangan 18 tahun lalu. Adakah mereka mahu saya meminjam mahram bagi membolehkan mereka menghukum saya? Soalnya.

 

DITINGGALKAN DI TEPI JALAN

Selain itu, Marzia mengakui dia pernah dihalang beberapa kali oleh Taliban ketika melakukan perjalanan dengan sendiri untuk ke tempat kerja di universitinya.

Ia melanggar arahan terdahulu yang melarang wanita melakukan perjalanan tanpa ditemani penjaga lelaki.

“Mereka kerap menghentikan teksi saya dan bertanya di mana mahram saya.         

“Apabila saya cuba menjelaskan tidak mempunyai mahram, mereka tidak akan dengar. Tak kisah sama ada saya pensyarah, mereka mengarahkan pemandu teksi meninggalkan saya di tepi jalan.

“Saya terpaksa berjalan beberapa kilometer untuk pulang ke rumah atau ke kelas setiap kali insiden seperti ini berlaku,” ujarnya.

 

JANGAN BERDIAM DIRI

Bantahan Marzia turut disuarakan oleh aktivis hak asasi wanita lain yang berpangkalan di Afghanistan dan luar negara.

Seorang aktivis, Huda Khamosh menggesa wanita Afghanistan untuk tidak berdiam diri dan tampil menyuarakan bantahan mereka.

“Peraturan dikenakan oleh Taliban tidak mempunyai asas perundangan. Ia juga menghantar mesej salah kepada wanita muda generasi di Afghanistan, mengaitkan identiti mereka dengan pakaian.

“Jangan sesekali berdiam diri, hak yang diberikan kepada seorang wanita Islam adalah lebih dari sekadar hak untuk memilih suami dan berkahwin.  

“Setiap wanita mempunyai maruah yang tinggi dalam hidup mereka,” katanya.   

Khamosh pernah mengetuai demonstrasi wanita di Kabul yang berlaku selepas pengambilalihan Taliban pada musim panas lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya